17,216 pegawai, anggota PDRM siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

17,216 pegawai, anggota PDRM siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 17,216 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga menghadapi bencana ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, persediaan itu turut merangkumi aset.

Beliau berkata, aset berkenaan merangkumi 570 bot banjir; 460 lori; 905 pacuan empat roda; 317 van, 17 unit jet ski dan lapan pesawat udara serta 7,659 jaket keselamatan, mengikut keperluan dan perkembangan semasa bencana.

Menurutnya, bagi membantu PDRM di peringkat kontinjen, pihaknya turut membahagikan pasukan bantuan tindak balas mengikut pecahan zon.

“Bagi zon utara, ia di bawah kawasan tanggungjawab Briged Utara yang meliputi kontinjen Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

“Zon tengah membabitkan Briged Tengah Pasukan Gerakan (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Wilayah 2 Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pengkalan Gerakan Udara Pengkalan Subang yang meliputi Kontinjen Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.

Bagi zon Timur pula, Mohamad Suzrin berkata, ia membabitkan Briged Tenggara PGA, Unit 6 PSP dan Wilayah Tiga Pasukann Polis Marin (PPM) yang meliputi kontinjen Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Bagi zon Sabah, Briged Sabah PGA, Wilayah 4 PPM, PGU Pengkalan Sabah akan digerakkan menghadapi MTL.

“Manakala di Sarawak, ia membabitkan Briged Sarawak PGA, Wilayah 5 PPM Dan PGU Pengkalan Sarawak,” katanya.

Katanya, pihaknya juga mengadakan mesyuarat kolaborasi bersama agensi tindak balas antaranya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Turut terbabit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan agensi lain-lain di peringkat daerah dan kontinjen.

“Nadma juga sebagai peneraju utama pengurusan dan pengurangan risiko bencana memberikan kerjasama yang jitu dan komited bagi menghadapi MTL, tahun ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top