Manchester: Ruben Amorim menamakan dirinya sebagai ‘si tersenyum’ namun menegaskan bahawa beliau memiliki sisi kejam yang diperlukan untuk menghidupkan kembali Manchester United.
Perlawanan pertama Amorim sebagai pengurus United menyaksikan beliau membawa gergasi longlai itu ke Ipswich yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus berusia 39 tahun dari Portugal itu, yang sebelum ini bersama Sporting Lisbon, kini mengendalikan pasukan United yang berada di tempat ke-12 dalam carta liga 13 mata di belakang pendahulu dan seteru tradisi, Liverpool.
Namun, Amorim, yang dilantik selepas United memecat Erik ten Hag, tidak melihat sebarang alasan untuk mengubah keperibadiannya yang peramah, terutamanya kerana sifat itu juga boleh menjadi keras apabila diperlukan.
“Kita boleh tetap menjadi orang yang sama,” kata Amorim dalam sidang media pra perlawanan.
“Jadi, saya boleh menjadi tegas apabila perlu. Jika anda berfikir sebagai satu pasukan, saya akan menjadi orang yang paling mesra yang anda pernah jumpa. Jika ada seseorang yang hanya memikirkan dirinya sendiri, saya akan menjadi orang yang berbeza.”
“Saya bukan jenis orang yang mahu menunjukkan bahawa saya adalah bos.
“Mereka akan merasakannya dalam setiap perincian kecil, bahawa saya boleh menjadi orang yang tersenyum, tetapi apabila ada kerja yang perlu dilakukan, saya akan menjadi orang yang berbeza, dan mereka faham itu.”
© New Straits Times Press (M) Bhd
