3 kawasan lambakan warga asing dalam perhatian polis

3 kawasan lambakan warga asing dalam perhatian polis

am@hmetro.com.my

Kuala Langat: Polis Kontinjen Selangor sudah mengenal pasti tiga lokasi dipercayai kawasan lambakan warga asing di negeri ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selain Pandan Mewah yang dilaporkan baru-baru ini, Kuala Selangor dan juga Sungai Buloh antara lokasi tumpuan pihaknya.

“Polis Selangor bersama Jabatan Imigresen dalam proses untuk melakukan beberapa operasi bukan sahaja di kawasan itu (Pandan Mewah) tetapi di beberapa kawasan lain yang ada lambakan warganegara asing yang kita sangsi keberadaan mereka.

“Jadi akan ada beberapa operasi lagi termasuk di kawasan yang disebutkan, kawasan lain adalah Sungai Buloh, Kuala Selangor.

“Ini dalam pemantauan dan risikan sebelum kita buat pemeriksaan ataupun operasi bersepadu bersama dengan Jabatan Imigresen,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini.

Di majlis itu, Hussein menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat kepada Deputi Superintendan, Mohd Sufian Amin sebagai pemangku jawatan itu menggantikan Asisten Komisioner Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh yang kini sebagai Penolong Pengarah D7 (Bahagian Gangsterism) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Media sebelum ini melaporkan penduduk flat Pandan Mewah, Ampang meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila isu lambakan warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen sah selain pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tidak dapat ditangani dengan berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top