59 majikan bakal didakwa mengikut Akta 446

59 majikan bakal didakwa mengikut Akta 446

PUTRAJAYA: Seramai 59 majikan bakal didakwa di mahkamah mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019, bulan ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, berkata antara pertuduhan akan dikenakan ialah mengikut Seksyen 24D, Seksyen 24H dan Seksyen 24J akta itu, serta Peraturan 3 dan Peraturan 4 bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

Pertuduhan bagi Seksyen 24D adalah ketiadaan perakuan penginapan, manakala Seksyen 24J pula gagal menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jantina.

Beliau berkata, sebanyak 124 kertas siasatan berkaitan sudah dibuka, setakat ini, membabitkan pelbagai sektor termasuk pembuatan sarung tangan getah dan perabot, pembinaan, peruncitan serta perkilangan di Semenanjung.

“Semua majikan dan penyedia penginapan berpusat yang masih belum membuat permohonan Perakuan Penginapan, diingatkan segera berbuat demikian bagi mengelakkan tindakan tegas diambil mengikut Akta 446,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum dipinda pada 2019, Akta 446 hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja dalam sektor perladangan yang melebihi 20 hektar serta perlombongan.

Namun kini, undang-undang itu dikuatkuasakan ke atas semua sektor, selain memperuntukkan peraturan baharu berhubung standard perumahan dan kemudahan pekerja.

Sepanjang penguatkuasaan Akta 446 bawah pindaan Ordinan Darurat pula, Saravanan berkata, 3,256 majikan telah diperiksa membabitkan 17,576 penginapan untuk tempoh 26 Februari hingga 11 Mac lalu, dengan lapan kertas siasatan telah diberi izin kompaun.

Ordinan Darurat yang berkuat kuasa sejak 26 Februari lalu, antara lain mengeluarkan arahan kepada majikan serta penyedia penginapan berpusat supaya menyediakan penginapan sementara kepada pekerja bagi mana-mana penginapan yang difikirkan tidak sesuai dan tidak selamat untuk didiami manusia.

Majikan dan penyedia penginapan berpusat yang gagal mematuhi arahan itu boleh didenda hingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Namun, Saravanan berkata, pihaknya masih memberi ruang kepada syarikat untuk memperbaiki kelemahan berkaitan, dengan mengambil kira kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Apabila menyediakan kertas siasatan, kami juga meneliti dan memperhalusi kedudukan kewangan syarikat terbabit,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top