60 operasi pembenihan awan untuk atasi jerebu

60 operasi pembenihan awan untuk atasi jerebu

PETALING JAYA: Sebanyak 60 penerbangan bagi melaksanakan operasi pembenihan awan dilaksanakan di seluruh negara setakat Isnin lalu bagi menangani cuaca kering dan impak jerebu.

Setakat pukul 6 petang semalam, Pasir Gudang, Johor ke­kal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ter­tinggi apabila meningkat kepada 183 berbanding 181, tiga jam sebe­lumnya.

Kualiti udara di Lembah Klang juga turut merosot apabila Klang merekodkan bacaan 181, Johan Setia (177) dan Cheras (171).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Jabatan Meteo­rologi (METMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, pelaksanaan pembenihan awan bergantung kepada keperluan semasa dan kesesuaian keadaan atmosfera.

Menurutnya, operasi itu bertujuan membantu meningkatkan ta­buran hujan di kawasan sasaran, khususnya menangani situasi kekurangan hujan, menyokong pengurusan sumber air dan membantu mengurangkan kesan je­rebu.

“METMalaysia menentukan ke­sesuaian masa pelaksanaan operasi berdasarkan analisis dan pemantauan berterusan.

“Antara faktor utama yang dinilai adalah kewujudan awan yang berpotensi menghasilkan hujan, kandungan kelembapan atmosfera, arah dan kelajuan a­ngin, kestabilan atmosfera serta pergerakan sistem cuaca,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Hisham berkata, penilaian turut mengambil kira data cerapan meteorologi, mo­del ramalan cuaca, pergerakan sistem cuaca dan potensi hujan di kawasan sasaran.

“Bagi kawasan yang meng­alami kekurangan hujan atau terjejas akibat jerebu, penilaian turut mengambil kira keadaan cuaca setempat, pergerakan jisim udara dan potensi hujan di kawasan sasaran,” katanya.

Mengulas mengenai keberkesanan pembenihan awan, beliau berkata, operasi mencatatkan kadar kejayaan melebihi 90 peratus dalam menghasilkan hujan di kawasan sasaran.

Katanya, kadar kejayaan itu merujuk kepada keupayaan operasi menghasilkan hujan dan bukannya peningkatan jumlah taburan hujan.

“Keberkesanan dinilai menerusi kejadian hujan di kawasan sasaran selepas operasi serta data daripada rangkaian stesen pencerapan meteorologi.

“Namun, perlu difahami bahawa hujan yang direkodkan selepas operasi tidak semestinya berpunca sepenuhnya daripada pembenihan awam kerana proses pembentukan hujan juga boleh berlaku secara semula jadi,” katanya.

Dalam pada itu, kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia telah memusnahkan sekitar 57,081 hektar kawasan atau 570.81 kilometer persegi (km2) iaitu bersamaan lebih separuh keluasan Perlis.

Perlis yang merupakan negeri terkecil di Malaysia berkeluasan 819 km2.

Pakar kesihatan persekitaran dan pekerjaan, Prof. Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, Kalimantan Barat menyumbang 38,310 hektar atau 67.1 peratus daripada keseluruhan kawasan kebakaran yang dilaporkan setakat semalam.

“Berdasarkan data terkini sistem Sipongi Kementerian Kehutanan Indonesia dan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Kalimantan Barat menyum­bang kira-kira 38,310 hektar atau 67.1 peratus daripada keseluruhan kawasan kebakaran yang dilaporkan.

“Sementara itu, Kalimantan Tengah pula merekodkan kira-kira 7,634 hektar diikuti Kalimantan Selatan sebanyak 3,387 hektar dan Kalimantan Timur sekitar 1,288 hektar,” katanya.

Tambah Dr. Haliza, meskipun kebakaran di wilayah itu kelihatan kecil daripada segi peratusan iaitu hanya melibatkan 0.106 peratus daripada keseluruhan geografi Kalimantan, impaknya terhadap alam sekitar serantau amat besar atas beberapa faktor.

“Pembakaran tanah gambut boleh menghasilkan asap lebih banyak dan berlarutan kerana api berupaya merebak di bawah permukaan tanah yang menyukarkan usaha pemadaman sepenuhnya.

“Asap daripada kebakaran terbuka itu juga dibawa angin merentasi sempadan termasuk ke Malaysia dan Singapura, bergantung pada arah dan kelajuan angin serta keadaan atmosfera semasa,” jelasnya.

Dr. Haliza berkata, situasi itu merupakan antara punca bacaan IPU kerap berubah-ubah mengikut kawasan terutama apabila angin membawa asap dari lokasi kebakaran ke kawasan berpenduduk.

“Selain kualiti udara terjejas, kebakaran hutan dan tanah gambut turut membebaskan karbon dioksida serta bahan pencemar lain ke atmosfera, sekali gus menyumbang kepada perubahan iklim dan mengancam keseimbangan ekosistem,” jelasnya.

Sementara itu, pakar klimatologi dan perubahan iklim, Prof. Dr. Fredolin Tangang berkata, keadaan kering dan panas dijangka berterusan di Kalimantan dan Sumatera yang bakal mening­katkan risiko kebakaran hutan di kawasan terbabit.

“Keadaan cuaca sama turut berpotensi mencetuskan kebakaran di kawasan tempatan sekiranya keadaan panas dan kering berterusan.

“Di Malaysia, keadaan panas dan kering khususnya di Sabah serta utara Semenanjung dijangka berlanjutan hingga awal tahun depan,” katanya.

Fredolin berkata, corak perubahan cuaca dan iklim yang berkait dengan fenomena El Nino perlu diberi perhatian sewajarnya kerana keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko kebakaran serta menjejaskan kualiti udara. – UTUSAN

Scroll to Top