7 ditahan jadikan kondominium pusat judi dalam talian – Utusan Digital

PETALING JAYA: Polis berjaya membongkar satu kegiatan sindiket judi dalam talian yang beroperasi di dua kediaman di sebuah kondominium di Jalan Ampang dekat sini semalam.

Serbuan berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama-sama Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil serbuan itu, sebanyak 12 individu terdiri daripada dua wanita tempatan serta tujuh lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 23 hingga 38 tahun ditahan.

Kata beliau, turut dirampas iaitu 32 telefon bimbit, komputer riba (4 unit), modem (satu) dan beberapa barangan lain dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit.

“Siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati premis berkenaan beroperasi sejak sebulan lalu.

“Pemeriksaan lanjut, sindiket ini turut menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan pelanggan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, sindiket terbabit dipercayai menyewa kediaman berkenaan pada kadar RM5,000 sebulan.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,”jelasnya.