Lelaki cedera tulang belakang terjatuh paraglider hilang kawalan – Utusan Digital

BALING: Seorang lelaki mengalami kecederaan pada tulang belakang selepas paraglider dikendalikannya hilang kawalan lalu terjatuh di pekarangan Masjid Kampung Padang Kulim di Kuala Ketil dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Sharul Nizam Samsudin, 43, yang berasal dari Banting, Selangor dikatakan gagal mengawal paraglider tersebut kerana angin kuat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa memulakan penerbangan sukan luncur udara itu di satu kawasan di Pengkalan Hulu, Perak kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

“Ketika paraglider tersebut berada di ruang udara, keadaan angin menjadi kuat sehingga menyebabkan mangsa dibawa oleh angin.

“Mangsa tidak dapat mengawal paraglider dan terjatuh di pekarangan Masjid Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, anggota yang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Kuala Ketil menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan tentang kejadian pada pukul 1.30 petang semalam sebelum menghubungi pihak Klinik Kesihatan Kuala Ketil untuk mendapatkan ambulans.

“Pada pukul 1.55 petang, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.

Tambahnya, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tulang dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian setakat ini,” katanya.

Difahamkan dua mangsa terlibat dalam insiden itu dengan seorang lagi mangsa terjatuh di kawasan rimbunan buluh di Taman Tasik Permai, Pengkalan Hulu di Perak kira-kira pukul 1.30 petang semalam.