Johor Bahru: Dua kanak-kanak yang hilang di Sungai Skudai berdekatan Kampung Batu 8, di sini dipercayai terjatuh, ditemui lemas, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I Mohd. Suhaimi Abdul Jamal berkata, mayat mangsa pertama, ditemui lebih kurang 14 meter dari Pusat Kawalan Operasi Bomba.
Beliau berkata, Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan teknik ‘Skin Dive’ di lokasi mangsa jatuh dan mayat pertama ditemui pada jam 8.58 malam tadi.
Katanya, mangsa pertama dikenalpasti sebagai Ahmad Daniel Abdullah, 9 tahun. “Identiti mangsa dikenalpasti oleh ayah tiri mangsa, Mohd Hamdan Baharuddin, 36.
“Sementara, mangsa kedua iaitu kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh tahun ditemui pada jam 12.10 malam, tujuh meter dari pusat kawalan operasi bomba. Identitinya belum dikenalpasti,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Mohd Suhaimi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut.
Operasi itu disertai 10 anggota dari BBP Larkin bersama lima anggota unit PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Malay News
National Desk



