bhnews@bh.com.my
SEREMBAN: Semua tujuh daerah di Negeri Sembilan merekodkan jumlah pesakit COVID-19 yang tinggi dan diletakkan dalam zon merah.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan, berkata daripada 61 mukim di negeri berkenaan, 38 daripadanya zon merah dengan Mukim Ampangan mencatatkan kes baharu paling tinggi iaitu sebanyak 63 kes.
“Antara mukim yang mencatatkan kes aktif paling tinggi ialah Labu (1,357), Ampangan (1,284), Si Rusa (661) dan Setul (606). Lima mukim di zon jingga dan 15 mukim mencatatkan zon kuning.
“Hanya terdapat tiga mukim di zon hijau, iaitu Langkap dan Parit Tinggi masing-masing di Kuala Pilah serta Legung Ulu di Rembau,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, semua mukim di daerah Seremban, Port Dikcson dan Jempol mencatatkan zon merah membabitkan 18 mukim.
Veerapan berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam, terdapat 690 kes baharu COVID-19 dilaporkan ke Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 134,082 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 1,349.
Beliau berkata, kerajaan Negeri Sembilan tidak bercadang untuk melaksanakan sekatan pergerakan dalam masa terdekat, susulan tujuh daerah merekodkan zon merah.
Katanya, orang ramai digalakkan untuk mengambil dos penggalak, manakala ibu bapa diminta supaya mendaftarkan anak masing-masing menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).
© New Straits Times Press (M) Bhd




