Peniaga dipenjara, denda RM60,000 simpan LPG tanpa lesen

Peniaga dipenjara, denda RM60,000 simpan LPG tanpa lesen

Seremban: Peniaga dipenjara 20 bulan dan didenda sebanyak RM60,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan menyimpan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa lesen pada 12 Mac lalu.

Hakim Madihah Hairullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Hue Chong Yeh, 43, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di No 7, Batu 6 Taman Perindustrian Lukut Baru, Port Dickson.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong atau runcit tanpa lesen.

Tindakan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, Chong Yeh membayar jumlah denda RM60,000 berkenaan.

Sementara itu, empat lelaki Myanmar yang juga pekerja premis terbabit yang turut didakwa tidak faham terhadap pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan kesemua mereka dihantar ke Penjara Sungai Udang Melaka sehingga kes disebut semula pada 20 April depan untuk jurubahasa Myanmar membacakan semula pertuduhan terhadap keempat-empat tertuduh.

Kes itu dikendalikan Pengawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Nazaruddin Zainuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Scroll to Top