Mufti WP kunjung hormat Sheikh Al-Azhar – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengadakan kunjungan hormat ke atas Sheikh Al-Azhar, Dr. Ahmed El-Tayyib buat julung kalinya di Mesir, kelmarin.

Ia berlangsung di Kompleks Masyayikh Al-Azhar, Kaherah dengan PMWP diwakili oleh Muftinya sendiri, Datuk Dr. Luqman Abdullah dan juga timbalannya, Jamali Mohd. Adnan.

“Kunjungan ini susulan kehadiran mufti antara dif kehormat Persidangan Tahunan anjuran Kementerian Waqaf Mesir baru-baru ini,” katanya PMWP melalui kenyataan di sini hari ini.

Pejabat tersebut menambah, turut sama hadir mengiringi kunjungan berkenaan ialah wakil Atase Agama dari Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Abdul Hadi Abdul Razak.

Pelbagai perkara telah dibincangkan bersama-sama dengan Imam Besar Al-Azhar yang bermazhab Maliki itu dalam suasana penuh kemesraan dan tautan ukhuwah dua negara.

Antaranya ialah berkaitan isu global umat Islam khususnya melibatkan ancaman akidah dan pemikiran kontemporari termasuklah cabaran pelbagai ajaran sesat yang kian bercambah.

“Juga perbincangan mengenai kewujudan aliran terorisme yang sentiasa cuba memecah belah kesatuan umat Islam serta mencalarkan kemuliaan ajaran ini,” kata kenyataan itu lagi.
PMWP dan Sheikh Al-Azhar turut bersepakat bahawa umat Islam perlu menghayati segala ajaran Islam berpandukan kepada al-Quran, al-Sunnah dan akidah Ahlus Sunah wal Jamaah.

Pegangan teguh berkenaan jelas kenyataan itu, malahan sudah terbukti berjaya membawa keamanan, keharmonian dan kesederhanaan dalam hidup penganut Islam sejak sekian lama.

Pada masa sama, Ahmed, 45, juga dimaklumkan berhubung perkembangan semasa PMWP antaranya fungsi utama memfokuskan bimbingan fatwa dan hukum syarak untuk masyarakat.

“Selain itu, beliau turut diberitahu bentuk perkhidmatan PMWP seperti jawab persoalan hukum menerusi panggilan telefon, proses konsultasi bersemuka dan siaran artikel bertulis,” katanya.

Semua kompilasi penulisan soal jawab itu dimuatkan dalam portal laman rasmi dan wadah media sosial PMWP di samping siri penerbitan buku yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Akhir sesi pertemuan itu ujarnya, kedua-dua pihak bersama-sama berdoa dan berharap agar hubungan baik dijalin akan berterusan melalui kerjasama pelbagai bidang pada masa depan.

Ahmed merupakan Sheikh Al-Azhar ke-50 sejak institusi feqah terulung dunia itu diwujudkan pada 1679 dan menggantikan Muhammad Sayyid Tantawi bermazhab Syafii pada 2010 lalu.

Sementara Luqman pula ialah Mufti Wilayah Persekutuan kelapan sejak PMWP diwujudkan kerajaan pada 1971 dan menggantikan Datuk Dr. Zulkiifli Mohamad Al-Bakri pada tahun lalu. – UTUSAN ONLINE