illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my
Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi meluangkan masa bermesra dan bergambar dengan sekumpulan 30 warga media Malaysia yang dijemput khas meraikan Hari Pers Nasional (HPN) di Ancol, di sini.
Jokowi hadir pada majlis kemuncak HPN yang disertai 6,000 wartawan dari seluruh Indonesia
HPN dengan tema ‘mengawal transisi kepimpinan nasional dan merawat keutuhan bangsa’ sepatutnya disambut pada 9 Februari lalu, namun ditunda bagi memberi laluan kepada Pemilihan Umum Indonesia (PEMILU) 2024, yang berlangsung minggu lalu.
Selepas majlis itu, media Malaysia termasuk lebih 10 ketua pengarang syarikat media negara dan 15 wartawan diberi ruang bertemu dan bergambar dengan Jokowi.
Media Malaysia sebelum itu menjadi tetamu kehormat majlis itu melalui penyertaan di pelbagai program sejak 12 Februari lalu termasuk pendedahan kepada PEMILU 2024.
Delegasi Malaysia yang hadir ialah Presiden ISWAMI Malaysia yang juga Ketua Pengarang ASTRO Awani , Ashwad Ismail dan Timbalannya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman yang juga Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan Pengarang Kumpulan BH; Ketua Pengarang merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin; Naib Presiden 1 ISWAMI yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Komunikasi, Nur Hanim Mohd Muhili; Naib Presiden 2 yang juga Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Media Prima Berhad, Kamaruddin Mape serta Setiausaha Agung ISWAMI Malaysia yang juga Ketua Penyiaran (TV dan Radio) BERNAMA, Mohd Shukri Ishak.
Ahli majlis ISWAMI yang hadir ialah Ketua Pengarang Utusan TV, Datuk Zulkefli Hamzah serta Pengarah Sarawak Media Group/CEO Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, Datuk Dr Jeniri Amir.
Selain itu, Pengarah Urusan Malaysian Nanban, Datuk Shafee Zaman Sikandar Batcha; Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli; Ketua Pengarang Suara TV, Abd Jalil Aboo Backer dan Timbalan Editor The Edge, Mohd Kamarul Azhar Mohamad Azmi turut hadir.
Sementara itu, dalam ucapan sempena HPN, Jokowi mengumumkan satu Peraturan Presiden (PERPRES) yang menuntut pengendali syarikat digital gergasi membayar sebahagian pendapatan mereka kepada syarikat media Indonesia.
Ia mendapat sorakan media Indonesia yang menantikan khabar gembira itu selepas tiga tahun berunding dan melalui cabaran antara syarikat media, platform media utama dan Kerajaan Indonesia.
Selain Duta Besar Malaysia Ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin, turut menjadi tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Budi Ari; Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy; Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian dan Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR-RI), Bambang Soesatyo.
HPN adalah acara kemuncak bagi Program Jejak Serumpun ISWAMI yang berlangsung sejak 12 Februari lalu, bagi mendedahkan kumpulan wartawan Malaysia kepada PEMILU 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




