Telefon bomba akibat panik selepas sesat ketika daki Bukit Penarikan

Telefon bomba akibat panik selepas sesat ketika daki Bukit Penarikan

am@hmetro.com.my

Jempol: Lima individu yang panik selepas tidak menemui jalan keluar ketika mendaki Bukit Penarikan di Bahau, diselamatkan anggota bomba, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata bomba menerima panggilan kecemasan daripada mangsa sendiri pada 1.42 tengah hari.

Katanya mangsa terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia dari 14 hingga 21 tahun.

“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat.

“Masa yang diambil untuk menyelamat mereka adalah 20 minit sebelum kesemuanya ditemui kira 200 meter dari titik mula pendakian,” katanya.

Jurucakap itu berkata kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu penduduk kampung yang hanya mahu dikenali Kak Ma berkata sepanjang minggu ini dua kejadian pendaki sesat apabila tidak jumpa jalan turun sebaik melakukan pendakian di bukit berkenaan.

“Ada penduduk turut mendengar jeritan kumpulan pendaki meminta tolong dari arah kebun kelapa sawit di bukit itu sebelum ada yang dibawa turun oleh penduduk dan ada yang menelefon pihak bomba,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top