am@hmetro.com.my
Miri: Masalah kekurangan pelajar di beberapa sekolah di pedalaman Baram merisaukan golongan pendidik kerana dikhuatiri sekolah berkenaan akan ditutup disebabkan oleh faktor terbabit.
Ahli Parlimen Baram, Datuk Anyi Ngau berkata, isu berkenaan sering disuarakan oleh guru di kawasan terbabit setiap kali beliau melawat sekolah di kawasannya.
“Inilah keadaan yang kita hadapi, apabila ke sekolah di kawasan (pedalaman) guru meluahkan kerisauan jumlah murid terlalu sedikit.
“Mereka menyuarakan kebimbangan kerana khuatir berkemungkinan sekolah akan ditutup akibat kurang murid,” katanya pada Majlis Perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram di sini, hari ini.
Beliau berkata, jumlah pelajar yang sedikit di sesebuah sekolah juga dikhuatiri akan menyebabkan suasana pembelajaran kurang kondusif.
“Apabila persekitaran tidak begitu mencabar, ia akan membawa kesan tidak baik termasuk prestasi kurang cemerlang dalam kalangan pelajar.
“Ia juga akan memberi pengaruh amat besar terhadap pelajar kerana semangat kelangsungan hidup juga akan berkurangan kerana sudah terbiasa tidak berdepan dengan saingan di sekolah,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau meluahkan kerisauan mengenai isu kekurangan pelajar di Baram.
Katanya, ketika ini terdapat 8,085 pelajar di Baram, dan jumlah itu menunjukkan penurunan bilangan pelajar tahun demi tahun.
“Antara faktor penyumbang adalah pelajar berpindah ke sekolah di kawasan bandar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
