Menepati jangkaan, pasangan duo adik-beradik Shiha Zikir dan Ieda Zikir diumumkan sebagai juara program Famili Duo musim keempat (FD4).
Menerap elemen futuristik dalam persembahan pertama bertemakan duet/berkumpulan, Shiha dan Ieda memukau juri dengan ‘permainan’ enam LED laser menerusi lagu Doktor Cinta (Dewi).
Manakala, bagi persembahan kedua yang bertemakan bebas, pasangan duo ini mendapat markah ‘perfect 10’ dan ‘standing ovation’ setelah berjaya menyentuh emosi kedua-dua juri, Datuk Rosyam Nor dan Mas Idayu menerusi lagu Mentera Semerah Padi (Datuk M Nasir).
Usai pengumuman juara, Shiha lantas sujud syukur dan bercucuran air mata tidak henti mengucapkan kata syukur.
“Alhamdulillah, syukur. Saya tak pernah menang apa-apa pertandingan nyanyian. Terima kasih Mak, atas doa. Terima kasih juri serta penyokong kami setiap minggu,” katanya.
Manakala, kakaknya, Ieda turut tidak menyangka memperoleh kemenangan setelah 7 minggu bertanding di program ini.
“Terima kasih, syukur Alhamdulillah atas rezeki ini. Saya menumpang rezeki anak-anak, keluarga. Terma kasih kepada juri, famili duo. Alhamdulillah,” ujarnya.
Sementara itu, gelaran Naib Juara pula dirangkul oleh pasangan duo sepupu, Ayie dan Salma Asis yang berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000.

Dalam pada itu, pasangan duo sepupu, Tomok dan Shahrul berada di kedudukan ketiga sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan daripada ketua juri, Mas Idayu yang mendendangkan lagu baharunya berjudul Harum Mekar.
Program FD4 disiarkan secara langsung di TV3 diacarakan pasangan pengacara, Janna Nick dan Syaiful Zero yang turut ditaja oleh Perfume Paradise.




