firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi ‘hidup mati’ menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok tidak terjejas khususnya babitkan komitmen barisan kejurulatihan serta pemain dalam menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Asean itu.
Ia selepas tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengumumkan pelantikan jurulatih baharu pada Selasa lalu yang disifatkan oleh peminat dan pemerhati sebagai langkah kurang bijak ketika pasukan masih lagi berjuang di saingan serantau itu.Menurut pengendali negara, Pau Marti Vicente, beliau sendiri akui tidak memahami manfaat disebalik pengumuman itu sedangkan dirinya dan barisan kejurulatihan lain sedang sibuk menyusun strategi terbaik untuk memastikan skuad Harimau Malaya mampu melangkah jauh di Piala Asean.Walaupun menyedari dirinya bakal meninggalkan pasukan selepas berakhir saingan itu, namun Vicente tetap profesional dengan menegaskan misi tiga mata penuh ke atas Singapura adalah matlamatnya.”Dari mula lagi, ia sebenarnya (pengumuman jurulatih baharu Harimau Malaya) agak pelik. Saya sendiri tak tahu kenapa…saya tak tahu apa manfaatnya kepada semua orang dengan mengumumkan jurulatih baharu ketika kami sedang mengharunginya (kempen Piala Asean).”Tapi kami tak boleh kawal, tak boleh ubahnya. Apa yang kami boleh kawal adalah dalam latihan dan dalam padang. “Kami perlu fokus dengan persiapan kami dan sediakan perancangan yang terbaik untuk menundukkan Singapura. Kalau kami terlalu fikirkan perkara di luar, mungkin sukar untuk kami menyediakan pasukan,” katanya pada sidang media pra perlawanan di SNBJ, di sini, hari ini.Selasa lalu, FAM mengumumkan Peter Cklamovski bakal mengambil alih skuad Harimau Malaya bermula 1 Januari ini bagi menggantikan Vicente yang mengesahkan bakal meninggalkan pasukan selepas kempen Piala Asean berakhir.Sementara itu, mengulas mengenai aksi dengan Singapura, Vicente akui masih belum memiliki perancangan di mana rata-rata pemain utama yang sebelum ini dilepaskan bermain untuk kelab baharu dikumpulkan semalam. “Kalau ikutkan kita seharusnya ada peluang terbaik untuk buat persiapan bagi perlawanan, namun kita kehilangan beberapa pemain untuk tempoh ini. “Kita masih ada satu lagi sesi latihan terakhir dengan kesemua pemain, dan hari ini adalah hari terakhir untuk melakukan sesi latihan bersama kesemuanya. Jadi kami kena pertimbangkan juga status pemain (kecederaan dan kecergasan) dan putuskan keputusan yang terbaik. “Setiap perlawanan kita mahu letakkan skuad terbaik untuk memburu kemenangan, dah tentu kami mahu persembahan yang baik dan kita akan lihat perkara itu nanti,” katanya.Berdasarkan kedudukan semasa, Malaysia wajib menewaskan Singapura dan perlu mendapatkan jaringan besar bagi menolak jiran tetangga itu serta Kemboja jatuh ke tempat ketiga dan keempat, sekali gus mengiringi Thailand ke separuh akhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




