hafidzul@hmetro.com.my
Kajang: Polis menahan empat lelaki secara berasingan kerana disyaki terbabit dalam kes pukul seorang individu di Semenyih, pada 29 Dismember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu video tular yang memaparkan berkaitan kejadian itu, pada jam 10.30 pagi, Rabu.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 5.45 petang, 29 Disember lalu. Dua suspek ditangkap pada 8 Januari dan 12 Januari lalu, manakala dua lagi suspek ditahan hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Naazron berkata, hasil semakan ke atas semua suspek berusia 32 hingga 36 tahun itu mendapati hanya tiga daripada mereka mempunyai rekod dadah dan jenayah.
“Kes masih dalam siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Mohd Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236 bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




