Kerajaan bayangan Myanmar mahu sertai rundingan ASEAN

Kerajaan bayangan Myanmar mahu sertai rundingan ASEAN

YANGON: Kerajaan bayangan Myanmar menyuarakan hasrat mahu menghadiri sidang kemuncak khas ASEAN bagi Myanmar di Jakarta, Indonesia, Sabtu ini.

Kerajaan bayangan, yang juga dikenali sebagai kerajaan perpaduan nasional (NUG), menegaskan tidak mengiktiraf kerajaan junta tentera Myanmar yang merampas kuasa 1 Februari lalu.

NUG dibentuk penggubal undang-undang yang digulingkan, kebanyakannya dari parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi serta ahli politik etnik minoriti.

Timbalan Menteri Luar NUG, Moe Zaw Oo, memaklumkan ASEAN belum menghubungi mereka dan menegaskan tidak akan menerima sebarang keputusan ASEAN tanpa membabitkan mereka.

“Jika ASEAN ingin bantu menyelesaikan kemelut di Myanmar, mereka tidak akan mencapai apa-apa tanpa berunding dengan NUG yang disokong rakyat dan memiliki keabsahan penuh.

‘Adalah penting junta tentera ini tidak diiktiraf, isu ini perlu ditangani dengan teliti,” katanya dalam temu bual dengan perkhidmatan radio Burma Voice of America’.

Pemimpin junta tentera, Min Aung Hlaing, dijangka menghadiri sidang kemuncak khas ASEAN bagi Myanmar di Jakarta hujung minggu ini.

Ia juga adalah lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak pemberontakan menggulingkan kerajaan demokrasi pimpinan Suu Kyi.

Jemputan Aung Hlaing ke mesyuarat ASEAN itu mengundang kecaman aktivis yang mendesak pemimpin asing supaya tidak mengiktiraf junta secara rasmi.

Tentera Myanmar bertindak ganas menghentikan protes besar-besaran membantah rampasan kuasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 730 orang terkorban setakat ini, mengikut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP).

Selain itu, wartawan tempatan dan asing turut menjadi sasaran junta tentera, yang setakat ini menahan sudah menahan lebih 65 wartawan dengan sekurang-kurangnya 34 masih dalam tahanan.

Selain itu, menurut laporan televisyen, lebih 20 selebriti dan lebih 20 lagi doktor ditambah dalam senarai 420 orang ternama yang dikeluarkan waran tangkap.

SEmentara itu, tunjuk perasaan berterusan di bandar Mandalay, Meiktila, Magway, Myingyan, Palaw, Mogok, Hpakant dan Sagaing menyokong NUG. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top