KUALA LUMPUR: Pasukan hoki lelaki kebangsaan masih mempamerkan semangat dan disiplin tinggi walaupun tewas dalam dua perlawanan berturut-turut berdepan Jepun dan Great Britain dalam aksi persahabatan tiga penjuru di Stadium Hoki Bukit Jalil baru-baru ini.
Pengurus pasukan Datuk Mirnawan Nawawi kagum dengan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan barisan pemain muda seperti Muhd Akhimullah Anuar Esook dan Shello Silverius dalam perlawanan berkenaan.
“Kalau kita lihat keputusan perlawanan sememangnya agak mengecewakan sedikit tewas di tangan Jepun 0-3 dan Great Britain 1-3 tetapi bagi saya itu bukanlah satu objektif yang mutlak.
“Objektif kami sebenarnya ingin melihat di manakah tahap kita ketika ini di samping membina pasukan untuk menghadapi Trofi Juara-Juara Asia Oktober ini dan Piala Asia pada Januari 2022,” katanya dalam rakaman audio dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia kepada media hari ini.
Mirnawan turut berpuas hati dengan prestasi ‘Speedy Tigers’ ketika menentang Great Britain menyaksikan skuad negara memperoleh empat pukulan sudut penalti dan menghasilkan satu gol menerusi Muhammad Razie Abd Rahim.
Bekas kapten skuad kebangsaan itu berkata tidak adil untuk menghukum skuad negara yang tewas dalam kedua-dua perlawanan berkenaan memandangkan ini adalah kali pertama mereka beraksi selepas lebih setahun susulan pandemik COVID-19.
“Bagi saya kita tidak boleh membandingkan dengan pasukan Jepun dan Great Britain sebab mereka ketika ini berada di tahap boleh dikatakan 85 hingga 90 peratus untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo manakala pasukan negara pula sudah lama tidak dapat menjalani latihan dengan sempurna ekoran COVID-19,” katanya. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




