am@hmetro.com.my
Putrajaya: Sebanyak 26 barang keperluan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan berkuat kuasa 24 Mac hingga 7 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah barangan di bawah skim berlangsung 15 hari itu juga lebih banyak berbanding hanya 22 barangan pada SHMMP 2024.
Katanya, empat barangan tambahan pada tahun ini adalah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan.
“Tempoh pelaksanaan selama 15 hari iaitu lima hari sebelum perayaan, satu hari ketika perayaan dan tujuh hari selepas perayaan,” katanya pada sidang media Pengumuman SHMMP Hari Raya Puasa 2025 di Festival Ramadan Putrajaya, Presint 3 di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
Armizan berkata, pelaksanaan skim pada kali ini adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.
Armizan berkata, pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
“Selain itu, penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan berkaitan dan pemain-pemain industri,” katanya.
Menurutnya, KPDN bekerjasama dengan KPKM bagi memastikan harga barangan terkawal dan bekalan di pasaran mencukupi.
Katanya, semakan harga barangan terbabit boleh dibuat melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
Beliau mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan termasuk meletakkan tanda harga bagi barang kawalan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
© New Straits Times Press (M) Bhd