Banjir: Bekalan elektrik di kawasan terjejas semakin pulih

Banjir: Bekalan elektrik di kawasan terjejas semakin pulih

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Bekalan elektrik di kebanyakan kawasan terjejas banjir di tiga daerah negeri ini semakin pulih.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline dalam kenyataan berkata, hanya tujuh lokasi di Johor Bahru yang masih mengalami gangguan bekalan elektrik.

Ia termasuk Kampung Pasir Tebrau, Kampung Paya Kenangan, pusat membeli belah Skudai Parade dan beberapa industri di Taman Sutera.

Sementara kawasan lain di Kulai dan Kota Tinggi sudah pulih seperti biasa.

“Kerja-kerja pembersihan pepasangan dan aset yang terjejas akibat banjir di Pencawang Masuk Utama Kangkar Tebrau, Johor Bahru, telah diselesaikan sepenuhnya dan kembali beroperasi, namun sebahagian kawasan masih belum menerima bekalan elektrik.

“Ini kerana beberapa Pencawang Elektrik (PE) perlu menjalani pemeriksaan dan ujian keselamatan menyeluruh terlebih dahulu, sebelum bekalan dapat dipulihkan sepenuhnya.

“Setiap aset dan pepasangan yang terjejas akan melalui proses pembersihan dan ujian menyeluruh bagi memastikan keselamatannya sebelum bekalan elektrik disalurkan semula kepada pengguna yang terjejas,” katanya.

Agensi itu menasihati pengguna supayamengutamakan keselamatan dan mengelak daripada menyentuh peralatan elektrik yang basah.

Sebelum ini, dilaporkan TNB menutup bekalan elektrik di lebih 50 lokasi di di Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi akibat banjir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top