Di sebalik kemeriahan Aidilfitri, Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, dengan bangganya mempersembahkan Blood Brothers: Bara Naga.
Dengan aura gelap dunia mafia yang jarang diterokai dalam industri perfileman tanah air, Blood Brothers: Bara Naga mengetengahkan dua pengarah berbajat besar iaitu, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra.
Menurut Syafiq, filem ini merupakan antara filem aksi yang paling sukar dihasilkannya.
Namun, tempoh dua tahun untuk menghasilkan filem ini sekaligus memnuatkan dia yakin Blood Brothers: Bara Naga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Dua tahun penuh dedikasi telah kami curahkan untuk menghasilkan Blood Brothers: Bara Naga Setiap peringkat, bermula daripada perancangan, penulisan, penggambaran, hingga pascaproduksi, menyaksikan usaha gigih daripada seluruh kru dan pelakon.
“Saya yakin filem ini akan membuka lembaran baru dalam industri filem negara dan memberi inspirasi kepada karyawan lain untuk menghasilkan karya yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, pengarah bersama, Abhilash Chandra menyifatkan kerjasama yang terjalin antara dirinya dan Syafiq adalah satu perjalanan kreatif yang luar biasa.
“Bekerja dengan Syafiq Yusof untuk Blood Brothers: Bara Naga memang satu perjalanan kreatif yang luar biasa.
“Kerjasama ini beri kami peluang untuk teroka idea baru dan cipta satu cerita yang berkesan dan kuat. Setiap babak ada impak dan tujuan tersendiri, dan saya yakin penonton dapat rasa terhubung dengan jalan cerita yang kami bawakan ni,” kongsinya.
Pamer ikatan persaudaraan, pengkhianatan & pertarungan demi kebenaran

‘Blood Brothers: Bara Naga’ mengangkat kisah Ariff (lakonan Syafiq Kyle), seorang pemuda yang direkrut oleh Ghaz (Sharnaaz Ahmad) untuk menyertai syarikat kawalan keselamatan elit, Silent Guard, di bawah naungan Dato Zul (Wan Hanafi Su) iaitu seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merupakan ketua sindiket mafia digeruni, dikenali sebagai Naga.
Sejak itu, Ariff mengangkat sumpah setia dan menjadi Blood Brother kepada Ghaz dan kemudian satu ikatan persaudaraan yang tidak boleh dikhianati.
Namun, apabila berlakunya satu pengkhianatan besar yang menggoncang empayar Naga, Ariff tiba-tiba dituduh sebagai dalang di sebalik musibah tersebut. Dia kini menjadi buruan dan suspek utama dalam konspirasi gelap yang mengancam nyawanya.
Dalam usaha untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, Ariff melarikan diri dan terpaksa mencari perlindungan daripada abang kandungnya yang telah lama terpisah, Jaki (Syazwan Zulkifly). Namun, di sebalik pelariannya, Ghaz pula diberi mandat untuk menjejaki dan menangkap Ariff demi menegakkan keadilan keluarga Naga yang menuntut balas dendam.
Adakah Ariff mampu membersihkan namanya dan meraih kembali kepercayaan Ghaz? Atau mungkinkah nasibnya berakhir tragis di tangan sahabat yang dianggap seperti abang sendiri?
‘Blood Brothers: Bara Naga’ akan mula ditayangkan di 146 pawagam seluruh negara bermula 10 April ini sebuah naskhah penuh aksi, emosi dan dilema moral yang pasti meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Untuk perkembangan terbaru serta kandungan eksklusif berkaitan filem ini, ikuti Primeworks Studios di platform rasmi mereka di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube.




