hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penubuhan Unit Integriti (UI) di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diwajibkan kepada semua Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran untuk dilaksanakan selewat-lewatnya 31 Ogos ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh bagi memperkukuh integriti pentadbiran.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, ia antara ketetapan utama Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 4 Bilangan 1 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Menurutnya, komitmen Kerajaan dalam memperkukuhkan tadbir urus dan integriti sektor awam diterjemahkan menerusi keputusan-keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan.
“Dalam langkah memperkemas struktur pelaporan, semua pegawai penghubung (Liaison Officer – LO) yang bertugas di PBT dikehendaki melapor terus kepada UI di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dan bukan lagi kepada Yang Dipertua.
“Pendekatan itu bertujuan mengukuhkan autonomi pelaporan serta ketelusan urus tadbir integriti di peringkat negeri,” katanya, hari ini.
Kenyataan itu berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu turut menekankan keperluan pematuhan terhadap Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (LSPRM).
Katanya, pejabat KSN akan mengeluarkan surat peringatan kepada kementerian serta Kerajaan Negeri yang masih belum mengambil sebarang tindakan susulan terhadap syor yang sudah dikemukakan bagi tahun 2017 hingga 2021.
“Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam diarah menyemak semula beberapa bahagian penting dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) khususnya Ceraian UP 7.2.5, termasuk berkaitan penerimaan tajaan pihak luar untuk program kerjasama pintar sebagai usaha penambahbaikan dasar supaya lebih telus dan berintegriti.
“Kementerian Kewangan pula diminta mempertimbangkan garis panduan “Do’s and Don’ts” Pelaksanaan Perolehan yang disediakan Urus Setia JTK Peringkat Nasional sebagai rujukan rasmi serta dijadikan pekeliling dan diedarkan ke semua agensi untuk diguna pakai secara menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, Shamsul Azri turut mengingatkan agar semua Ketua-ketua Setiausaha (KSU) segera melaporkan sebarang kes rasuah yang diketahui di kementerian masing-masing.
Katanya, ini kerana ia adalah salah satu indikator penting dalam Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh budaya antirasuah.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Lim Bee Kean dan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, Sudirman Aban.
© New Straits Times Press (M) Bhd




