Tingkat siling, lantai taraf hidup

Tingkat siling, lantai taraf hidup

Kuala Lumpur: Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) secara kolektif sudah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap di Malaysia, di mana semua pekerja tetap warga Malaysia kini memperoleh lebih daripada gaji kehidupan wajar bulanan.

GLIC yang terbabit secara kolektif dalam pelaksanaan inisiatif ini adalah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Berdasarkan analisis perbandingan penggajian industri dan piawaian kos sara hidup yang digariskan dalam Panduan Belanjawanku 2024/2025, penanda aras gaji kehidupan wajar sudah ditetapkan pada kira-kira RM3,100 sebulan iaitu lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 yang diumumkan pada Belanjawan 2025 dan dilaksanakan pada 1 Februari lalu.

Panduan Belanjawanku yang dibangunkan bersama oleh KWSP dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya (UM) menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum yang diperlukan untuk taraf hidup yang baik.

Pendekatan gaji kehidupan wajar memperkasa majikan untuk menawarkan jumlah pampasan yang melebihi gaji asas, merangkumi pelbagai manfaat yang meningkatkan kualiti hidup individu, termasuk penjagaan kesihatan, pelan persaraan, dan mekanisme simpanan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, melaksanakan visi Ekonomi Madani memerlukan pendekatan seluruh negara, dengan sektor korporat memainkan peranan utama.

“Langkah kolektif GLIC untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar adalah langkah penting untuk ‘menaikkan lantai’, bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan berakar umbi dalam kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan komitmen gaji kehidupan wajar adalah sebahagian daripada inisiatif GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) di bawah rangka kerja Ekonomi Madani yang memerlukan usaha bersinergi daripada GLIC sebagai pemangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama di Malaysia, dengan dua objektif ‘menaikkan siling’ dan ‘menaikkan lantai’.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, PNB sudah menyesuaikan penggajian semua tenaga kerjanya bagi memastikan semua pekerja kini memperoleh lebih daripada gaji kehidupan wajar.

“Kami berbesar hati kerana dapat memenuhi komitmen kami terhadap inisiatif gaji kehidupan wajar.

“Fokus kami kini adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) strategik utama kami. Pertamanya untuk mereka menerima dasar gaji kehidupan wajar, seterusnya melaksanakan dasar terbabit mengikut garis masa yang dipersetujui.

“Sejak 2023, kami sentiasa terbabit bersama GLC kami dalam hal mengenai rangka kerja gaji kehidupan wajar ini, menggesa mereka secara proaktif agar komited kepada Dasar Gaji Kehidupan Wajar dan mempercepatkan pelaksanaannya,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, tiga daripada syarikat strategik PNB sudah mengeluarkan Dasar Gaji Kehidupan Wajar dan PNB menyasarkan supaya semua syarikat strategik untuk menerima dan menyatakan komitmen kepada Dasar Gaji Kehidupan Wajar menjelang 2026.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, ia komited untuk menyokong aspirasi Ekonomi Madani, terutama dalam menaikkan kedua-dua lantai dan siling untuk rakyat Malaysia.

“Selaras dengan strategi Malaysia yang berlandaskan rangka kerja A Nation That Creates dengan tujuan memacu fasa seterusnya transformasi ekonomi Malaysia, Khazanah komited untuk menyokong aspirasi Ekonomi Madani.

“Khazanah memenuhi komitmennya untuk menyediakan gaji kehidupan wajar kepada pekerjanya dan sudah terbabit secara aktif dengan syarikat teras dalam pegangannya untuk melaksanakan amalan gaji kehidupan wajar dalam keseluruhan operasinya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top