Caliph Buskers bikin single istimewa

Caliph Buskers bikin single istimewa

am@hmetro.com.my

Kumpulan Caliph Buskers bakal mengeluarkan single terbaharunya istimewa untuk Konsert Malam Wakaf Rakyat 2025 (Mawar 2025) yang akan berlangsung pada 10 Oktober nanti di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bandar Baru Bangi.

Penyanyinya, Azmi Saat, 38, berkata, mereka akan menyiapkan single berkenaan sebelum bermulanya Konsert Mawar 2025 kerana itulah realiti kehidupan sebagai penyanyi dan pemuzik.

“Kami akan keluarkan single dan tajuk lagu pun belum ditentukan lagi. Semuanya masih dalam proses rakaman, namun kami akan cuba siapkan sebelum konsert itu bermula, lebih kurang dalam bulan Ogos atau September.

“Keluarkan single, promosi dan pergi buat persembahan. Begitulah hidup sebagai penyanyi dan pemuzik kan,” katanya.

Menurut Azmi Saat atau nama sebenarnya, Kharul Azmi Saat, dia dan kumpulannya sangat berbesar hati dapat melakukan persembahan di konsert berkenaan yang mempunyai kelainan dari konsert lain.

“Ini kemungkinan konsert pertama di Malaysia yang guna bahasa isyarat secara langsung sepanjang persembahan, bagi meraikan komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kami amat berbesar hati untuk turut sama menjayakan konsert itu,” katanya pada sidang media Konsert Mawar 2025.

Konsert Mawar 2025 adalah anjuran Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM dan Kengkawan Project.

Ia juga bukan sekadar hiburan, tetapi ruang renungan yang mengajak masyarakat menyuburkan amalan wakaf melalui gabungan seni dan spiritualiti bertemakan Biarpun Nafasmu Terhenti, Pahalamu Terus Mengalir.

Kelainan konsert ini adalah menggunakan bahasa isyarat secara langsung sepanjang keseluruhan bagi meraikan dan mengiktiraf kehadiran komuniti OKU pendengaran untuk turut menghayati setiap mesej dan emosi yang disampaikan.

Konsert Mawar 2025 itu bakal diisi dengan persembahan yang menggabungkan tazkirah, kisah inspirasi, selawat, lakonan dan nyanyian berunsur spiritual.

Konsert itu bakal menampilkan artis dan personaliti terkenal seperti Datuk Ramli Sarip, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, Lah Ahmad, Vanidah Imran, Raihan, UNIC, Abby Fana, Dr PU Razi, Azhar Hilmi serta ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top