hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 11 lelaki warga asing sesak nafas dalam kejadian kebakaran kereta di parkir tingkat bawah tanah (basement) di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, kira-kira jam 10 pagi, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, Komander Operasi, Nasaruddin Haron melaporkan kebakaran membabitkan bahagian enjin kereta Nissan Teana yang terbakar 30 peratus dan asap kebakaran itu memenuhi ruangan berkenaan.
“Dalam kejadian ini, seramai 11 mangsa lelaki dewasa warga asing mengalami sesak nafas akibat kejadian itu dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Seramai enam daripada mangsa terbabit dihantar menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM), dua mangsa dihantar menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Wangsa Maju manakala selebihnya menaiki ambulans HKL,” katanya.
Kenyataan itu berkata, operasi membabitkan 11 anggota bersama sebuah jentera dan sebuah EMRS.
“Unit Siasatan Kebakaran PGOKL diarahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




