JEMPOL: Penduduk di Jeram Padang di sini menggesa supaya pembinaan sebuah pusat perlindungan anjing liar di Jalan Rompin yang dakwa mereka dibina secara haram supaya dihentikan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru Rompin, Norizan Othman, 55, berkata, pembinaan pusat perlindungan itu hanya akan menambah masalah anjing liar yang sememangnya sudah dihadapi penduduk.
Katanya, kehadiran anjing liar bukanlah isu baharu di kawasan tersebut kerana haiwan itu sering berkeliaran di kawasan rumah kosong dan jalan-jalan kampung.
“Penduduk sudah lama berdepan dengan isu ini. Kami bukan tidak sayang haiwan, tetapi anjing-anjing ini boleh mendatangkan risiko penyakit dan kadangkala menyebabkan kemalangan kerana terpaksa mengelak haiwan tersebut di jalan raya.
“Kalau pusat perlindungan ini dibina di sini, masalah hanya akan bertambah. Kami mahu kawasan kampung kekal bersih dan selamat untuk semua penduduk,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, pusat perlindungan anjing tersebut dipercayai dibina secara haram dan tanpa kebenaran di atas tanah rizab kerajaan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ketika saya sedang membuat rondaan di sekitar kawasan sini, saya mendapati ada berlakunya kerja-kerja pembinaan. Selepas berjumpa dengan pegawai Majlis Perbandaran Jempol, pembinaan tersebut tidak mendapat kelulusan.
“Saya juga telah menulis surat kepada Pejabat Tanah dan notis telah dikeluarkan pada 23 Jun lalu namun sehingga kini pihak NGO tersebut masih belum membuat apa-apa tindakan,” katanya.
Tambah Mohd Zaidy, pembinaan pusat tersebut menimbulkan kebimbangan penduduk sekitar berhubung risiko penyakit rabies, pencemaran bau serta pembuangan najis haiwan tersebut.
“Lokasi ini tidak sesuai, banyak lagi kawasan lain boleh dijadikan pusat perlindungan anjing liar namun bukan di kawasan rizab kerajaan yang berdekatan dengan penempatan penduduk.
“Carilah tanah persendirian yang lebih sesuai tanpa mengganggu kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.-UTUSAN.