mhafis@mediprima.com.my
Gombak: Seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun merempuh tiga kereta yang diletakkan di parkir di tepi jalan selepas cuba mengelak seekor anjing yang melintas jalan di Taman Sri Gombak menghala ke Taman Bukit Permata, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima makluman berhubung kemalangan itu pada jam 9.44 pagi dan siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 6 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki itu memandu kereta Honda Civic dari arah Jalan Tun Razak ke Sri Gombak cuba mengelak anjing yang melintas secara tiba-tiba di lokasi kejadian.
“Lelaki itu hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kereta yang diletakkan di parkir di tepi jalan.
“Akibat daripada perlanggaran itu, empat kereta mengalami kerosakan manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 166/59 dan meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Sarjan Sazila Yusuf menerusi talian 013-3083696 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.
“Semua yang terbabit sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan tiada kejadian langgar lari seperti tular di media sosial,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
