Speedy Tigers, Afrika Selatan sama kuat

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jurulatih hoki lelaki negara, Brendon Carolan mengakui Speedy Tigers masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan selepas terikat 3-3 dengan Afrika Selatan dalam aksi klasifikasi Kumpulan H Piala Dunia Hoki 2026, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu keputusan pertemuan Perancis menentang Ireland bagi menentukan kedudukan akhir dalam kumpulan yang akan turun selepas ini.

Dalam perlawanan itu, Malaysia dua kali mendahului menerusi Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-14 dan 22, namun Afrika Selatan bangkit sebelum Mustaphaa Cassiem meletakkan mereka di depan pada minit ke-43.

Faizal Saari kemudian menyelamatkan Malaysia daripada kekalahan apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-60.

Bagi Carolan, pasukannya kecewa kerana gagal meraih tiga mata selepas melepaskan gol mudah ketika beraksi dengan kekurangan seorang pemain.

“Memang sukar kerana sasaran utama kami adalah mendapatkan tiga mata untuk membuka peluang beraksi dalam penentuan tempat ke-11 dan ke-12.

“Kami agak kecewa melepaskan gol kedua yang mudah ketika kekurangan seorang pemain. Kami juga terlalu longgar pada separuh masa pertama sehingga membenarkan Afrika Selatan kembali dalam permainan.

“Selepas itu, kami memperkemaskan permainan terutama ketika menguasai bola. Saya fikir pasukan ini semakin hampir dan semakin baik.

“Ireland dan Afrika Selatan adalah pasukan yang bagus. Afrika Selatan juga beraksi di final Piala Negara-Negara dan mereka mampu menewaskan Ireland serta Perancis,” katanya.

Namun begitu, peningkatan yang ditunjukkan Speedy Tigers memberi petanda positif untuk pasukan terus merapatkan jurang dengan kelompok terbaik dunia.

“Kami semakin berkembang dan kini cuma perlu memastikan dapat melepasi garisan kemenangan untuk mendapatkan kemenangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top