Edika Yusof, isteri rujuk ketika idah

Edika Yusof, isteri rujuk ketika idah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat pelakon Edika Yusof, 58, untuk memujuk sekali gus rujuk semula dengan isterinya, Nor Hidayah Yusri, 47, ketika dalam idah menjadi kenyataan.

Edika atau nama sebenar Mohd Yusof Abd Majid bersyukur masih dipanjangkan jodoh dengan isterinya walaupun mereka sah bercerai pada awal Mei lalu dan kini sepakat membuka semula lembaran baharu dalam rumah tangga.

“Dah ‘settle’ (rujuk semula). Sijil (nikah yang baharu) pun dah keluar (dapat).

“Alhamdulillah, dalam masa idah lagi dah ‘settle’ semuanya (rujuk). Terima kasih,” katanya ringkas kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Difahamkan sepanjang tempoh perceraian itu, hubungan Edika dan Nor Hidayah tetap baik kerana mereka ada mengusahakan perniagaan bersama-sama.

Bapa dua anak ini juga pernah memuatnaik video dia bersama Nor Hidayah dan anak-anak di Instagram (IG) miliknya buat pertama kali selepas bercerai ketika keluar makan sekeluarga sempena sambutan Hari Bapa, Jun lalu.

Selain itu, Edika juga didapati sudah beberapa kali memuat naik foto mereka berdua dan Nor Hidayah secara solo di IG dengan hantaran kata-kata indah yang jelas menunjukkan kebahagiaan.

Sejak itu, kebanyakan wargamaya yang meninggal komen mendoakan terbaik buat pasangan yang sudah hidup bersama selama 22 tahun ini agar dipanjangkan jodoh dan rujuk semula.

Terdahulu, Edika dan Nor Hidayah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 5 Mei lalu, selepas wanita itu memfailkan cerai di mahkamah pada pertengahan Februari 2025 kerana sudah tiada persefahaman.

Pasangan Edika dan Nor Hidayah yang berkahwin pada 2003 pernah menjadi perhatian ramai apabila pelakon filem Maria Mariana itu sanggup berkorban dan setia menjaga isterinya yang lumpuh separuh badan selama 19 tahun selepas melahirkan anak kedua mereka.

Hasil perkongsian hidup itu, Edika dan Nor Hidayah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21 dan Fereena Nurulhaq, 20, selain Edika juga mempunyai dua anak tiri daripada perkahwinan pertama Nor Hidayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top