Putrajaya: Angka mengejutkan apabila 50 nyawa terkorban dihempap tragedi pokok tumbang di seluruh negara dalam tempoh 2021 hingga Jun lalu.
Susulan itu, kejadian pokok tumbang di Malaysia tidak lagi boleh dianggap sebagai insiden terpencil yang hanya berlaku ketika musim hujan, sebaliknya memerlukan pendekatan pencegahan yang lebih sistematik menerusi audit keselamatan berkala, perkongsian data antara agensi serta penyelenggaraan konsisten.
Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan sebanyak 26,001 kes pokok tumbang direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga Jun lalu, dengan kejadian itu turut menyebabkan 243 mangsa cedera.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang, kekal tinggi secara konsisten antara 4,400 hingga 5,200 kes setahun, manakala bagi separuh pertama 2026 sahaja sebanyak 1,912 kes direkodkan.
“Sepanjang tempoh tersebut, kejadian pokok tumbang telah mengakibatkan 50 kematian dan 243 kecederaan, manakala 360 mangsa berjaya diselamatkan tanpa kecederaan.
“Data ini menunjukkan bahawa walaupun jumlah kes tidak meningkat secara konsisten, kejadian pokok tumbang masih memberi risiko yang serius terhadap keselamatan awam,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran antara empat yang terkorban dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke pintu gerbang Janda Baik, Bentong, pada 3 Ogos.
Pada 19 Julai, seorang lelaki berusia 43 tahun maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang berhampiran Kedutaan Singapura di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Nor Hisham berkata, antara faktor utama yang dikenal pasti menyebabkan kejadian pokok tumbang ialah kejadian ribut petir yang disertai angin kencang dan hujan lebat, khususnya semasa fasa peralihan monsun.
“Hujan berterusan boleh menyebabkan tanah menjadi tepu dan mengurangkan kestabilan sistem akar pokok sekali gus meningkatkan risiko pokok tumbang.
“Selain faktor cuaca, keadaan fizikal pokok seperti pokok yang berusia, berpenyakit, reput atau mempunyai struktur akar dan dahan yang lemah turut menyumbang kepada kejadian tersebut,” katanya.
Namun Nor Hisham berkata, kejadian pokok tumbang lazimnya bukan berpunca daripada satu faktor semata-mata, sebaliknya melibatkan gabungan cuaca ekstrem, keadaan fizikal pokok dan tahap penyelenggaraan.
Sebagai contoh, siasatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang baru-baru ini mendapati punca pokok angsana berusia 90 tahun yang tumbang di Jalan Macalister, Pulau Pinang, pada 3 Ogos disebabkan akar yang reput, rongga pada pangkal batang, pemadatan tanah kronik dan ruang perakaran yang terhad.
“Pada pandangan JBPM, kejadian pokok tumbang lazimnya bukan berpunca daripada satu faktor tunggal, sebaliknya melibatkan gabungan pelbagai faktor merangkumi cuaca, keadaan fizikal pokok dan tahap penyelenggaraan.
“Walau bagaimanapun, berdasarkan corak kejadian yang sering dihadapi dalam operasi, cuaca ekstrem seperti ribut petir, hujan lebat dan tiupan angin kencang merupakan pencetus utama yang menyebabkan pokok atau dahan tumbang secara tiba-tiba,” katanya.
Sehubungan itu, Nor Hisham berpandangan langkah yang paling berkesan bukan hanya memperkukuh tindak balas kecemasan selepas kejadian berlaku, tetapi memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti pokok berisiko lebih awal.
© New Straits Times Press (M) Bhd
