Umat Islam wajib meyakini adanya mizan atau neraca timbangan pada akhirat kelak yang akan menimbang secara adil dan saksama segala amalan mereka sewaktu di dunia walaupun yang sekecil-kecilnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk pada) hari kiamat maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikit pun, dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung), dan cukuplah Kami sebagai Penghitung”. (Surah al-Anbiya: 47)
Neraca timbangan ini penentu sama ada seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga ataupun neraka. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik) maka mereka itulah orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik) maka mereka itulah orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya)”. (Surah al-A’raf: 8-9)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Maka, sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, mereka itulah orang yang berjaya. Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, merekalah orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam”. (Surah al-Mukminun: 102-103)
Maka itu, perbanyakkanlah ibadah dan amal soleh untuk memberatkan timbangan kita di sana. Antara amalan yang dapat memberatkan timbangan ialah berzikir kepada Allah. Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Dua kalimah yang ringan pada lidah, berat pada timbangan (amal), dan dicintai oleh ar-Rahman (Allah Yang Maha Pemurah) iaitu: Subhanallah wa bihamdih, subhanallah al-‘azim (Maha Suci Allah dan dengan segala pujian-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara hadis yang masyhur mengenai neraca timbangan ialah hadis al-bitaqah (lembaran kecil atau kad). Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT akan menyelamatkan seorang lelaki daripada umatku di hadapan seluruh makhluk pada hari kiamat. Maka, Dia akan membentangkan kepadanya 99 catatan amal yang setiap satu catatan panjangnya sejauh mata memandang. Kemudian, Allah bertanya: ‘Adakah kamu mengingkari apa-apa daripada ini? Adakah para pencatat-Ku yang menjaga telah menzalimi kamu?’ Maka, lelaki itu menjawab: ‘Tidak, wahai Tuhanku’. Lalu, Allah bertanya lagi: ‘Adakah kamu mempunyai sebarang alasan?’ Dia menjawab: ‘Tidak, wahai Tuhanku’. Lantas, Allah berfirman: ‘Bahkan, sesungguhnya kamu masih mempunyai satu kebaikan di sisi Kami maka itu tiada kezaliman ke atasmu pada hari ini’. Lalu, dikeluarkan satu bitaqah yang tertulis padanya: ‘Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan pesuruh-Nya’. Lantas, Allah berfirman: ‘Bawakanlah timbangan kamu’. Maka, lelaki itu bertanya: ‘Wahai Tuhanku, apakah nilai bitaqah ini bersama dengan catatan amal ini?’ Namun, Allah berfirman: ‘Sesungguhnya kamu tidak akan dizalimi’. Baginda bersabda: “Maka, diletakkan catatan amal itu pada satu piring timbangan dan bitaqah itu pada satu piring timbangan yang lain. Lalu, menjadi ringanlah catatan amal tersebut dan menjadi berat pula bitaqah itu kerana tiada sesuatu pun yang lebih berat berbanding nama Allah”. (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Hadis sahih)
Namun, hadis ini perlulah difahami bahawa kelebihan yang diperoleh itu disebabkan dia bukan seorang muflis iaitu bebas daripada dosa yang berkaitan dengan hak orang lain. Adapun orang yang muflis, dia tidak akan selamat. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapa orang yang muflis?” .
Para sahabat menjawab: ‘Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tidak mempunyai dirham (wang) dan harta’. Lalu, Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, tetapi dia datang (dalam keadaan) telah mencaci maki si polan, menuduh (zina atau fitnah) si polan, memakan harta si polan, menumpahkan darah si polan dan memukul si polan. Lalu, diberikan kepada si polan tadi daripada kebaikannya dan kepada si polan itu daripada kebaikannya. Sekiranya kebaikannya telah habis sebelum sempat diselesaikan apa yang ditanggungnya (kepada mangsanya), akan diambil daripada kesalahan (dosa) mereka lalu dicampakkan pula ke atasnya. Kemudian, dia akan dicampakkan ke dalam api neraka”. (Hadis Riwayat Muslim)
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd
