mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kekeliruan mengenai asal-usul Facundo Garces akhirnya terjawab apabila pertahanan kacukan itu sendiri tampil menjernihkan keadaan.
Jika sebelum ini ada laporan mendakwa beliau hanya mempunyai kaitan jauh dengan Malaysia menerusi moyangnya, Garces menegaskan hakikat sebenar jauh berbeza.
Katanya, beliau memang memiliki akar keluarga dari Malaysia melalui datuk atau nenek, sekali gus melayakkannya menyarung jersi Harimau Malaya.
“Ia hanya ralat transkrip, bukan seperti yang disangka. Saya orang Malaysia daripada akar datuk atau nenek saya,” tulisnya di Instagram Story.
Lebih manis, pemain itu mengakui amat berbesar hati untuk mewakili Malaysia sambil berharap dapat berjumpa lagi dengan penyokong Harimau Malaya.
“Jumpa anda semua tidak lama lagi,” kata pemain berusia 26 tahun itu
Luahan ringkas itu ternyata melegakan hati ribuan penyokong yang sebelum ini bingung dengan laporan media antarabangsa mengenai status keturunannya.
Bagi peminat bola tempatan, kehadiran Garces dianggap sebagai sinar baharu untuk benteng Harimau Malaya yang bakal berdepan jadual padat aksi antarabangsa.
Malah, semangat juang yang ditunjukkan pertahanan kelahiran Argentina itu menambah keyakinan bahawa dia benar-benar mahu mengangkat nama Malaysia di pentas bola sepak.
Sebelum itu, Garces menjadi bualan hangat netizen tempatan dan Indonesia selepas portal sukan Sepanyol, El Correo, melaporkan beliau hanya mempunyai kaitan Malaysia menerusi moyangnya.
Berita itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial memandangkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hanya mengiktiraf pemain warisan melalui keturunan datuk atau nenek, bukan moyang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




