Amorim belum dipecat kerana kacak

Amorim belum dipecat kerana kacak

London: Jamie Carragher tampil dengan teori luar biasa mengenai mengapa Ruben Amorim masih belum dipecat oleh Manchester United meskipun memiliki rekod buruk di Old Trafford setakat ini.

Bekas bintang Liverpool itu berpendapat karisma, pesona serta rupa paras menarik Amorim menjadi faktor yang membantunya terus kekal memegang jawatan.

Bercakap dalam rancangan The Overlap Fan Debate terbitan Sky Bet, Carragher berkata: “Dia memang hebat ketika sidang media tetapi kerana dia tidak menang, orang mula rasa ‘diam sajalah’.

“Berhenti bercakap, tutup mulut. Jika dia menang, kita semua akan kata ‘wow, dia memang berkarakter’.”

“Kini ada desakan untuk membawa Jose Mourinho kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana dia seorang yang ‘box office’, sentiasa mencuri tumpuan, tetapi dia juga seorang pemenang.

“Saya sebenarnya fikir, kalau Amorim tidak begitu berkarisma dalam sidang media, kalau dia bukan seorang lelaki yang kacak, mungkin dia sudah lama kehilangan jawatan. Bila lihat kepada keputusan perlawanan, ia memang teruk!”

United menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-15 EPL, tewas dalam final Liga Europa kepada Tottenham dan memulakan kempen musim baharu dengan buruk.

Kekalahan di laman sendiri kepada Arsenal pada hari pembukaan, diikuti seri menentang Fulham di tempat lawan, bertambah parah dengan penyingkiran memalukan di Piala Liga selepas tewas menerusi penalti kepada kelab kerdil, Grimsby Town.

Pada hujung minggu lalu, United hanya menang tipis menentang pasukan baru naik liga, Burnley di Old Trafford menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Amorim setakat ini dapat membantu United meraih 18 kemenangan daripada 46 perlawanan, dan kini berdepan tekanan tinggu untuk mengubah nasib kelab itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top