Pikul Tanggungjawab Besar, Chloe Lim Mahu Beri Komitmen Sepenuhnya Untuk Miss Universe 2025 di Thailand

Pikul Tanggungjawab Besar, Chloe Lim Mahu Beri Komitmen Sepenuhnya Untuk Miss Universe 2025 di Thailand

Menewaskan 15 wanita jelita lain di pentas Miss Universe Malaysia 2025 malam tadi, perunding pengurusan, Chloe Lim Sue Lyn mahu memberikan komitmen tidak berbelah bahagi untuk pertandingan Miss Universe 2025 yang bakal berlangsung di Thailand.

Berbaki kurang dua bulan sebelum Miss Universe 2025 yang bakal diadakan November ini, Chloe sedar tanggungjawab yang dipikul amat besar selepas pencapaian Sandra Lim tahun lalu yang berjaya menempatkan Malaysia dalam Top 30 Miss Universe 2024 di Mexico, sekali gus mengakhiri penantian lebih 50 tahun.

“Dalam tempoh dua bulan ini, saya mahu melengkapkan diri dengan sebaik mungkin. Banyak aspek perlu diperkasakan untuk menghadapi pentas dunia.

“Saya mahu memberikan komitmen sepenuhnya dari segi fizikal, mental dan emosi supaya dapat mengangkat nama Malaysia,” katanya.

Dalam pertandingan yang diadakan malam tadi, tempat naib juara menjadi milik penasihat perniagaan, Priyaa Simmi, 30, manakala model dan pempengaruh, Jen Li, 28, di tempat ketiga.

Malam Gala Akhir Miss Universe Malaysia 2025 dihadiri oleh tetamu kehormat termasuk Datin Seri Livonia Ricky Guing, Pengerusi Miss Universe Malaysia Organization (MUMO); Charissa Chong, Pengarah Nasional MUMO; dan Sandra Lim, Miss Universe Malaysia 2024.

Panel juri yang diberi tanggungjawab untuk memilih para pemenang terdiri daripada Datin Seri Livonia Ricky Guing, Marlene Lim, bekas ratu cantik dan perunding pertandingan ratu; Siti Rahayu Baharin, aktivis hak kanak-kanak dari Yayasan Chow Kit; Dr. Jillian Heng, Pengasas Bersama Bright Clinic; Fenti Riana, Ketua Projek Khas Boost Juice Bars Malaysia; dan Ashlee Ng, Pengurus Besar Bahagian Produk Pengguna L’Oréal Malaysia dan Singapura.

Dalam pada itu, Chloe menyifatkan kemenangan itu bukan sekadar tuah, sebaliknya sebuah impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

Menurut wanita berusia 27 tahun ini, setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing, namun dia memilih untuk tampil seadanya sepanjang pertandingan.

“Saya hanya menjadi diri sendiri sepanjang perjalanan ini. Semua finalis tampil dengan kekuatan mereka sendiri dan saya sangat menghormati itu. Malam ini mungkin rezeki berpihak kepada saya. Saya bersyukur kerana doa saya dimakbulkan dan saya berjanji akan memberikan yang terbaik selepas ini,” katanya.

Turut bersaing dalam edisi 2025 ialah Bhadrani Nagendran, Chloe Chin, Elaine Cheah, Elina Cheah, Joey Leng, Kavita Sanglish, Keerthanaah Parthipan, Malveen Kaur, Priscilla Yap, Priyanka Sockanathan, Dr Ranmeet Jassal, Tan Su Jie dan Valenice Tiong.

Scroll to Top