sukan@hmetro.com.my
Permatang Pauh: Pengorbanan pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim yang sanggup melupakan masa rehat liga demi melatih bakat muda menerusi Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim terasa berbaloi apabila ada dalam kalangan mereka berjaya melangkah ke sekolah sukan dan bermain di peringkat lebih tinggi.
Pemain berusia 28 tahun itu berkongsi ada beberapa anak didiknya yang sebelum ini turun padang bermain dalam keadaan serba kekurangan dan berlatih dalam keadaan berkaki ayam kerana tidak mempunyai kasut bola.
“Dulu mereka hanya budak kampung yang datang bermain di padang ini tanpa kasut, setiap petang dengan kemudahan terhad.
“Tetapi hari ini ada beberapa orang berjaya melangkah ke Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang sama pernah saya belajar iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian.
“Kelab DNA Faisal Halim juga teruja kerana dapat menyumbang kelahiran ‘produk’ baharu untuk masa depan bola sepak negara,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Bola Sepak Piala YB Dr Taufiq Johari X Faisal Halim di sini, hari ini.
Faisal berkata, kejohanan menggunakan namanya sebagai jenama yang memasuki edisi kelima tahun ini menyaksikan impak penganjuran terbesar apabila menghimpunkan 57 pasukan dari Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis, Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurutnya, buat julung kali kejohanan itu mempertandingkan tiga kategori serentak iaitu bawah lapan (U8), bawah 10 tahun (U10) dan 12 tahun (U12) selain terdapat peserta jauh lebih muda beraksi dalam kategori atas umur mereka dan menyifatkan perkara itu dapat memberi kematangan lebih awal sama seperti pengalamannya ketika kecil.
“Kalau kita hanya bermain di Pulau Pinang, kita mungkin rasa kita sudah cukup hebat. Tetapi apabila keluar dari circle sendiri dan bersaing dengan pasukan luar, barulah kita tahu tahap sebenar dan apa yang perlu diperbaiki.
“Saya harap setiap pemain yang menyertainya akan menunjukkan peningkatan dan perubahan positif apabila mereka kembali ke negeri, kelab atau sekolah masing-masing sama ada sebagai wakil sekolah, zon, daerah atau negeri masing-masing,” katanya.
Faisal turut memuji perubahan positif dalam kalangan peserta yang semakin menitikberatkan aspek disiplin, adab dan semangat kesukanan dan melihat kualiti pemain menjadi lebih baik berbanding empat kejohanan sebelum ini.
“Saya nampak mereka lebih menghormati lawan. Kalau ada pemain terjatuh selepas dikasari, mereka terus hulur tangan bersalaman. Bila kita menang, kita raikannya dengan cara betul jangan provokasi lawan.
“Kita bukan hanya mahu melihat kemenangan, tetapi juga bagaimana mereka menghormati lawan, menjaga disiplin dan menunjukkan sikap yang baik di atas padang,” katanya.
Dalam pada itu, Faisal menjelaskan beliau tidak terlalu mementingkan kemenangan semata-mata, sebaliknya memberi peluang kepada semua pemain merasai minit permainan bagi membina keyakinan dan minat mereka terhadap bola sepak.
“Ada peserta yang pada mulanya tidak ada kelab tetapi dia datang jumpa, saya masukkan dalam kem latihan saya seminggu dan bagi dia main untuk kelab saya. Saya fikir macam mana dia tiga empat tahun akan datang kalau awal-awal lagi kita tidak bagi peluang.
“Kalau dia tak pandai kita didik dia. Bukan harap dia sudah sedia pandai. Jurulatih yang bagus akan mendidik dan membentuk mereka. Kita tidak boleh terus mengetepikan mereka hanya kerana mereka belum mahir bermain,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




