Hospital baharu Durian Tunggal atasi kesesakan Hospital Melaka

Hospital baharu Durian Tunggal atasi kesesakan Hospital Melaka

MELAKA – Cadangan pembinaan hospital baharu di Durian Tunggal, Alor Gajah dijangka dapat mengurangkan kesesakan dan peningkatan jumlah pesakit di Hospital Melaka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, projek itu merupakan antara yang akan diangkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 bagi membolehkan kerja-kerja awalan dilaksanakan.

“Menurut perancangan, hospital baharu itu akan dibangunkan mengikut spesifikasi Hospital Berpakar Jenis 2 yang dilengkapi 400 katil, di atas tanah milik KKM seluas 59.8 ekar dengan anggaran kos RM875 juta.

“KKM kini di peringkat permohonan di bawah RP2 RMK13 untuk mendapatkan kelulusan kerja-kerja awalan projek terlebih dahulu,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Hospital Melaka pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketika ini Hospital Melaka yang mempunyai kapasiti sekitar 1,143 katil merekodkan kadar penggunaan katil atau Bed Occupancy Rate (BOR) purata sekitar 80 peratus.

Beliau berkata, Hospital Melaka merupakan antara hospital pertama yang mengamalkan konsep hospital kluster sejak lebih 12 tahun lalu bersama dua hospital lain, iaitu di Pahang dan Tawau.

“Hospital Melaka menunjukkan progres yang sangat baik melalui konsep hospital kluster ini, di mana limpahan pesakit dapat dibantu oleh Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah bagi mengurangkan kesesakan.

“Insya-Allah, saya berani memberikan jaminan bahawa strategi pengurusan katil (bed management) yang dibangunkan di hospital ini sangat membantu aliran kerja pesakit (patient flow) supaya tidak berlaku limpahan seperti di hospital lain,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan kes-kes tidak kritikal dan limpahan pesakit dialihkan ke hospital daerah bagi mengelakkan kesesakan di hospital utama.

Selain hospital baharu itu, bagi menangani isu kesesakan dan keterbatasan ruang di fasiliti sedia ada, KKM turut merangka beberapa perancangan infrastruktur kesihatan baharu di Melaka.

Antaranya termasuk pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka bernilai RM697 juta yang akan menambah 476 katil baharu.

“Turut dirancang ialah Kompleks Kesihatan Bersepadu Jasin, serta naik taraf Klinik Kesihatan Bukit Katil dan pembinaan Klinik Kesihatan Duyong.

“Nilai keseluruhan pelaburan bagi projek-projek infrastruktur mega ini melebihi RM1.8 bilion,” katanya.

Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan khas berjumlah RM6 juta sepanjang lawatan tiga hari ke Melaka bagi menyelesaikan isu baik pulih dan naik taraf fasiliti serta keperluan segera perolehan aset perubatan dan bukan perubatan di enam fasiliti yang dilawati.

Mesti Baca

Scroll to Top