Resort Tasik Raban di Lenggong, Perak bertukar menjadi taman permainan untuk lebih 2,000 pengunjung dari Malaysia dan serantau yang hadir meraikan komuniti dan gerakan indie di TAPAUfest edisi ke-7, baru-baru ini.
Gabungan muzik, seni, makanan dan aktiviti luar menjadikan festival selama dua hari itu terus unggul sebagai salah satu acara indie paling dinantikan di Asia Tenggara.
Pengarah Festival TAPAUfest, Ahmad Faris berkata, komuniti ini semakin berkembang dengan penyertaan negara Asia Tenggara yang lain.
“Ia sangat mengujakan bila kita dapat rasai sendiri kehebatan apabila komuniti indie tempatan dan serantau bersatu untuk satu misi yang kita kongsi dan benar-benar peduli bersama,” katanya.
Dihoskan oleh pelakon, Iedil Dzuhrie dan Nadia Nash, pentas utama PENTAS menyaksikan persembahan hebat daripada barisan artis tempatan dan rantau ini.
Hari pertama dibuka dengan aksi penuh bertenaga daripada wira fuzzchor Malaysia, Raksar. Dari Yogjakarta, Skandal membuat persembahan pertama antarabangsa mereka, manakala gabungan Seru x Wani Ardy memukau dengan persembahan unik gabungan elemen post-rock dan puisi.
KIKI dari Thailand pula menghidupkan suasana dengan tenaga segar mereka, sementara FUGO (Malaysia) membuktikan status mereka sebagai band paling hangat masa kini bersama penampilan khas Heidi Moru.
Malam itu ditutup indah dengan persembahan dramatik Sal Priadi, sempurna melatari keindahan malam di Lenggong.
Hari kedua pula dibuka oleh Cactus Cactus dari Singapura dengan bunyi berat dan penuh tenaga, sebelum Okirama (Malaysia) membawa nuansa santai dengan muzik ‘healing chairs’ ketika matahari terbenam.
White Chorus (Indonesia) kembali memacu pentas dengan rentak elektro-pop yang membuat penonton menari, diikuti Insomniacks (Malaysia) yang berjaya mencipta ‘sing-along’ paling kuat, terutama daripada peminat remaja.
Suasana bertukar penuh emosi dengan lagu-lagu anthem daripada Perunggu (Indonesia), tetapi sorakan paling meriah diberikan kepada legenda indie Malaysia, Couple yang tampil dengan set istimewa 14 lagu. Lebih istimewa, mereka membawa semula ‘line-ups’ Top of the Pops yang kali terakhir bermain bersama pada 2006 sempena sambutan ulang tahun ke-30 kumpulan itu.
Dengan latar indah Tasik Raban yang dikelilingi gunung-ganang, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman penuh TAPAUfest dengan berkhemah selama dua malam di Santuy Campsite atau Slow Cub Camp. Lengkap dengan persembahan unggun api, suasana perkhemahan ini menambah satu lagi lapisan magis sepanjang hujung minggu festival.
Selain muzik, kawasan Warung (makanan & minuman) dan Pasar (pasar seni indie, pakaian & merch) yang dikurasi oleh Pekan Pop Up menjadi tumpuan.
Pengunjung turut mengisi masa di Bengkel (sesi perkongsian & bengkel) dan Layar (tayangan filem).
Antara sorotan Bengkel ialah sesi ‘The Struggles of Finding Your Visual Identity’ bersama Eng Lyna (Kemboja), Chipzat (Brunei), Tricia Solanga (Filipina) serta panel Ada Apa Dengan ASEAN yang menampilkan wakil dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand, dimoderasi sendiri oleh pengarah festival, Ahmad Faris.
Bengkel mini zine dan cetakan getah potong turut mendapat sambutan, manakala tayangan khas oleh SEA Short Film Festival di Layar menampilkan karya pembikin filem indie dari Vietnam, Myanmar dan negara jiran lain.
Buat pertama kali, TAPAUfest memperkenalkan elemen KEMBARA yang membolehkan pemegang pas hujung minggu menikmati aktiviti luar seperti berkayak, menaiki bot, serta sesi yoga matahari terbit dan terbenam bersama Sesi Tikar Mengkuang.
Sentuhan tambahan lain termasuk persembahan seruling ketika matahari terbenam serta stesen isi semula air percuma untuk memastikan pengunjung kekal bertenaga sepanjang festival.
Festival ini dianjurkan oleh TAPAUasia Sdn Bhd bersama ASEAN dan Tourism Malaysia sebagai penyokong utama, serta Kementerian Belia dan Sukan, Impact Integrated dan Majlis Daerah Lenggong (MDL) sebagai Rakan Strategik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




