MyGameOn & SAYS Tech Bergabung Anjur ‘Rileks Je, Takyah Toksik Lepak Session’

MyGameOn & SAYS Tech Bergabung Anjur ‘Rileks Je, Takyah Toksik Lepak Session’

MyGameOn bersama SAYS Tech bakal menganjurkan sebuah acara komuniti gaming santai yang diberi nama Rileks Je, Takyah Toksik Lepak Session pada Sabtu, 27 September 2025.

Program yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 5 petang di ATO Gaming Café, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ini terbuka untuk semua dan kemasukan adalah percuma.

Acara ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Rileks Je, Takyah Toksik, iaitu usaha bersama yang memberi fokus terhadap isu buli siber serta kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kalangan komuniti gaming tempatan. Dengan menghimpunkan gamer, pencipta kandungan, keluarga serta peminat, penganjur mahu mewujudkan suasana digital yang lebih mesra, selamat dan inklusif.

Pengunjung yang hadir boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk goodie bag eksklusif daripada MyGameOn dan SAYS Tech, sesi perkongsian santai bersama individu industri e-sukan Malaysia, perlawanan fun match Mobile Legends: Bang Bang, serta cabutan bertuah dengan hadiah istimewa. ATO Gaming Café juga akan dipenuhi dengan pelbagai pilihan hiburan seperti arked, konsol, permainan mudah alih, boardgame dan tabletop.

“Kami percaya gaming patut jadi ruang yang selamat dan inklusif. Melalui Rileks Je, Takyah Toksik, kami mahu tunjuk bahawa keseronokan, persaingan sihat, dan komuniti boleh berkembang tanpa toksik,” kata Hazril Md Nor selaku Editor MyGameOn.

Acara ini terbuka kepada semua, tidak kira sama ada anda seorang gamer, pencipta kandungan, cosplayer, atau sekadar ingin melepak bersama rakan. Penganjur menjanjikan suasana santai yang penuh dengan kemeriahan untuk semua lapisan pengunjung.

Acara Rileks Je, Takyah Toksik Lepak Session akan berlangsung pada hari Sabtu, 27 September 2025 bermula jam 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang di ATO Gaming Café, TTDI.

Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua. Untuk maklumat lanjut serta pendaftaran RSVP, orang ramai boleh melayari laman sesawang mygameon.my/takyahtoksik

Scroll to Top