bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Yayasan Perpaduan Malaysia mewakili suara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini mengutuk sekeras-kerasnya nya tindakan Israel dalam siri serangan berterusan di Baitulmaqdis.
Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata setiap orang mempunyai hak untuk melakukan ibadat dengan aman dan ia sesuatu yang tidak boleh dihalang.
Katanya, tiada alasan logik yang boleh diberikan tentera Israel yang memulakan serangan ketika umat Islam di Gaza sedang menunaikan ibadah.
“Justeru, solidariti bersama Palestin adalah seruan dari Yayasan Perpaduan Malaysia, untuk semua masyarakat di dunia yang mementingkan keharmonian dan kesejahteraan tanpa mengira agama.
“Yayasan Perpaduan Malaysia juga ingin menyeru rakyat Malaysia untuk memberikan bantuan semampu yang boleh kepada Palestin bagi membantu mereka menghadapi waktu sukar ini.
“Solidariti secara maya, bantuan kewangan, barangan atau marilah sama-sama kita doakan supaya peperangan ini tamat dan penderitaan mereka berakhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lam Thye berkata, walaupun negara sedang berdepan pandemik COVID-19, rakyat Palestin berhadapan detik yang lebih sukar pada ketika ini.
“Oleh itu kita lakukan apa yang termampu untuk menyokong dan membantu mereka yang berada di waktu yang lebih sukar,” katanya.
Beliau berkata, bermula dengan Baitulmaqdis, kini Gaza pula diserang dan jelas kekejaman Zionis di penghujung Ramadan benar-benar sudah ke kemuncaknya.
Katanya, kini ia berlarutan dan Palestin menyambut Syawal bukan dengan kemeriahan bunga api dan mercun, tetapi dentuman bom dan artileri.
“Setiap hari kita mengira bilangan mereka yang diserang, kita melihat berapa banyak rumah dan bangunan musnah dan menjadi saksi letupan bom di tanah Palestin.
“Atas nama kemanusiaan, sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Gaza adalah sesuatu yang sangat kejam.
“Di penghujung Ramadan hinggalah tibanya Syawal, bedilan roket dan bom masih menghujani bumi Palestin yang tidak berdosa sekali gus menunjukkan bahawa kemanusiaan sudah tiada di bumi Palestin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




