redzuan.muharam@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seramai 36 juruterapi profesional menyahut cabaran bagi mewakili negara dalam Kejohanan Urutan Holistik Dunia (WHMCC) 2025 di Singapura bermula hari ini hingga esok.
Rombongan peserta bertolak dari Pusat Rawatan Terapi Urut Tradisional Pak Su Den di Bandar Permas Jaya, di sini, dengan menaiki bas.
Jurucakap Pasukan Malaysia, Mohd Abiddin Ahmad, 41, berkata, wakil negara membabitkan 21 juruterapi wanita dan 15 lelaki yang datangnya dari Semenanjung hingga Borneo.
Mohd Abiddin berkata, peserta berumur lingkungan 21 hingga 64 tahun dan bukan calang-calang kerana berpengalaman sebagai juruterapi profesional.
Lantaran itu, Mohd Abiddin berharap penyertaan peserta dalam WHMCC 2025 berupaya membuka mata banyak pihak dan paling utama, mengangkat teknik urutan tradisional Melayu ke persada dunia.
“Penyertaan delegasi negara dalam kejohanan berkenaan menunjukkan kesungguhan juruterapi profesional tempatan untuk diiktiraf sebagai peneraju dalam bidang terapi urutan dan kesejahteraan holistik global.
“Gabungan juruterapi dari pelbagai latar belakang menunjukkan perpaduan kita dan menonjolkan keistimewaan setiap peserta yang akan membawa bersama warisan serta teknik unik dari negeri masing-masing.
“Ini bukan sekadar pertandingan namun pertunjukan seni dan sains sentuhan yang sudah lama sebati dalam budaya penyembuhan tradisional,” katanya kepada Harian Metro.
Mohd Abiddin berkata, WHMCC 2025 adalah platform yang menghimpunkan pakar urutan dari seluruh dunia, dinilai oleh panel juri terkemuka berdasarkan penguasaan teknik, kreativiti gaya persembahan, etika profesionalisme, dan pendekatan holistik dalam penjagaan klien.
Justeru, penyertaan juruterapi profesional negara sebagai peserta dijangka memberi impak yang signifikan kepada industri spa dan kesihatan tempatan.
“Dalam kejohanan itu nanti, kami akan menggabungkan kekuatan urutan tradisional Melayu, teknik refleksologi, terapi titik tekanan (TCM), dan inovasi urutan holistik kontemporari untuk menawan hati panel juri antarabangsa.
“Selain menunjukkan keupayaan, penyertaan itu akan menjadi pemangkin kepada peningkatan piawaian latihan, pensijilan, dan inovasi, sekali gus membuka peluang yang lebih cerah kepada juruterapi tempatan untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Kejayaan mereka bukan sahaja akan mengharumkan nama negara malah meletakkan Malaysia pada peta dunia sebagai destinasi utama untuk terapi kesejahteraan berkualiti tinggi,” katanya.
Mohd Abiddin berharap, rakyat Malaysia akan memberi sokongan penuh terhadap perjuangan 36 juruterapi yang juga wira dan wirawati negara dalam kejohanan berkenaan.
“Setiap sentuhan yang mereka berikan di pentas Singapura adalah lambang aspirasi negara untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang kesihatan holistik.
“Kami akan berusaha sehabis baik untuk membawa pulang kemenangan buat negara dengan merebut tempat dalam kelompok lima terbaik dunia selain 22 piala dipertandingkan untuk kategori termasuk persembahan serta penampilan serta pakaian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




