PRK Kinabatangan, Lamag: 6 teras utama manifesto calon BN, bersifat menyeluruh untuk rakyat Lamag

PRK Kinabatangan, Lamag: 6 teras utama manifesto calon BN, bersifat menyeluruh untuk rakyat Lamag

am@hmetro.com.my

Kinabatangan: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ismail Ayob melancarkan manifesto pilihan raya yang mengandungi enam teras utama sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Manifesto itu adalah membabitkan pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lamag untuk menyediakan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M50, membina kawasan perumahan baharu yang tersusun dan selamat, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat Lamag melalui pemilikan rumah sendiri.

Selain itu, mewujudkan sektor pelancongan, kraftangan, usahawan dan kebudayaan dengan menyediakan ruang tetap bagi jualan produk kraftangan, tempat persinggahan kebudayaan yang menjadi pusat latihan penghasilan kraftangan moden dan tradisional.

Manifesto seterusnya ialah cadangan penubuhan kolej atau institut kemahiran di Kinabatangan yang memfokuskan terhadap bidang berpotensi tinggi seperti automotif, mekanikal, elektrik, pertanian moden, hospitaliti dan pelancongan.

Ia bagi menyediakan peluang belajar dan bekerja untuk anak tempatan, sekali gus meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan dan industri untuk jaminan pekerjaan.

Manifesto keempat adalah meningkatkan prasarana sukan dengan membina kompleks atau mini kompleks yang bukan saja membuka peluang pekerjaan, menjana ekonomi dan menggerakkan komuniti belia, malah menyokong pembangunan bakat muda dari peringkat sekolah hingga antarabangsa.

Turut terkandung dalam manifesto itu adalah usaha menaik taraf infrastruktur asas dengan memastikan setiap rumah, sekolah dan kedai perniagaan di Lamag menikmati bekalan elektrik yang stabil, moden dan selamat, membina tangki komuniti dan memperbaiki jalan rosak sehingga ke setiap kampung.

Manifesto itu dilancarkan dalam Program Malam Galau yang diadakan di Dataran Kinabatangan, di sini, sebentar tadi.

Ketika ditemui, Mohd Ismail berkata, manifesto itu adalah berkaitan masalah yang dihadapi masyarakat di kawasan berkenaan sejak sekian lama.

“Manifesto ini bersifat menyeluruh dengan menitikberatkan usaha menangani kos sara hidup dan juga ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Pada PRK berkenaan, Mohd Ismail berdepan lawan daripada calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top