syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain berpengalaman, Mohd Alif Samsudin yang menjadi tonggak terbaru UiTM FC sedia menjadi ‘sifu’ kepada barisan pemain muda skuad itu dalam misi menghidupkan kembali peluang mereka untuk kekal di pentas Liga Super.
Terkenal dengan julukan sebagai ‘Elneny UiTM’ kerana memiliki gaya rambut yang sama dengan pemain Arsenal itu, pemain berusia 32 tahun itu mengakui hanya pengalaman yang menjadi pemisah untuk pasukan itu daripada bersaing dalam Liga Super.
Jelasnya, dia tidak melihat kelemahan ketara yang dimiliki pasukan namun lega apabila perubahan besar dapat disaksikan ketika skuad ‘The Lion Troops’ berjaya mengikat KL City FC pada aksi terakhir sebelum rehat, 8 Mei lalu.
“Sebenarnya pemain muda dalam pasukan ini semuanya tiada masalah. Cuma apa yang saya lihat adalah mereka tiada pembimbing yang boleh memberi arahan di atas padang.
“Salah satu contoh ialah kedudukan posisi mereka semasa di atas padang, di mana tempat yang sesuai untuk pemain tempatkan diri mereka bagi menutup ruang pihak lawan bagi lakukan hantaran.
“Aspek ini yang diharapkan oleh pihak kejurulatihan dan buat masa ini selepas perlawanan bertemu dengan KL City FC, nampak ada sedikit perubahan yang boleh saya lakukan untuk membantu pasukan,” katanya.
Sebagai rekod, Alif adalah satu nama besar dalam kalangan penyokong Negeri Sembilan dalam era kegemilangan skuad Hobin Jang Hobin pada musim 2009-11 apabila menjadi antara watak penting buat pasukan itu.
Terkenal dengan corak permainan keras sebagai pemain tengah bertahan, dia bersama Negeri Sembilan sehingga 2014 sebelum berhijrah ke beberapa pasukan lain seperti seperti Sime Darby FC, Melaka, FELCRA FC dan Kuala Lumpur.
© New Straits Times Press (M) Bhd



