London: Pengurus Liverpool, Arne Slot, berkata pasukannya sedang memantau beban pemain dengan teliti bagi mengelakkan krisis kecederaan dalam jadual perlawanan yang padat menjelang aksi pusingan keempat Piala FA menentang Brighton & Hove Albion pada awal pagi Ahad ini.
Pemain tengah Wataru Endo mengalami kecederaan ketika menewaskan Sunderland 1-0, semalam sekali gus menambah senarai pemain Liverpool yang tidak dapat diturunkan, termasuk pertahanan Giovanni Leoni, Conor Bradley dan Jeremie Frimpong.
“Kami mempunyai tiga keutamaan utama Piala FA, kelayakan Liga Juara-Juara dan Liga Juara-Juara,” kata Slot kepada wartawan di Anfield, hari ini.
“Kami juga sedar dengan pilihan pemain yang terhad, jadi pengurusan beban amat penting. Perkara terakhir kami perlu elak ialah kecederaan baharu. Itu cabaran besar bagi seorang pengurus, membuat keputusan terbaik setiap masa. Bukan sesuatu luar biasa pemain cedera jika terpaksa bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari.
“Paling penting, kami akan menjalani latihan hari ini, mendengar pandangan pemain, menilai keadaan mereka dan membuat keputusan terbaik.”
Slot mengesahkan Endo bakal berehat panjang akibat kecederaan buku lali, dan berkata pemain akademi mungkin diberi peluang menentang Brighton.
“Saya sentiasa memerhati pemain muda. Beberapa daripada mereka semakin hampir untuk menembusi skuad utama,” kata pengurus dari Belanda itu.
“Rio Ngumoha dan Trey Nyoni sudah merasai pengalaman itu dan perlawanan seperti ini boleh menjadi pilihan, namun ia bergantung kepada keseimbangan pasukan. Kami tetap akan menurunkan pasukan kuat dan pemilihan pemain memerlukan pertimbangan rapi.”
Liverpool kini berada di kedudukan keenam Liga Perdana Inggeris dengan 42 mata daripada 26 perlawanan, ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Arsenal. Mereka juga mengesahkan tempat dalam pusingan playoff Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan kelompok lapan terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



