PRN Melaka: PH umum calon seminggu dua lagi – Amirudin

PRN Melaka: PH umum calon seminggu dua lagi – Amirudin

KLANG – Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh terdekat.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persiapan jentera gabungan itu sudah berjalan sejak kira-kira dua bulan lalu dan kini hanya menunggu beberapa perkara diselesaikan sebelum calon diumumkan.

“Insya-ALLAH dalam masa terdekat, kita akan umum calon seminggu atau dua minggu lagi,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Program Tuaian Anak Harapan Tawas (TUAH) di sini pada Sabtu.

Amirudin menjelaskan, pertemuan dengan jentera dan pasukan PH sudah dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi PRN Melaka.

“Jentera pasukan PH sudah bergerak dan bersedia, cuma penyelarasan, jajaran dan kesefahaman itu saja yang masih menjadi persoalan selain perlu mengumumkan calon,” ujar beliau.

Ditanya mengenai kerjasama Pas dan UMNO yang dikatakan sudah mencapai persetujuan 90 peratus, Amirudin berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan kedua-dua parti berkenaan.

“Semalam katanya baru 90 peratus, tetapi 10 peratus itu boleh macam-macam (berlaku), tak apalah biarlah mereka membuat keputusan itu dan saya tak nak campur urusan mereka,” tambah beliau.

Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi PRN Melaka, Amirudin berkata, PH masih terbuka untuk mengadakan perbincangan sekiranya terdapat ruang ke arah itu.

“Kalau ada ruang kita berbincang, jika tidak, kita juga bersedia untuk bertanding mengikut kapasiti dan kesefahaman yang ada,” jelas beliau.

Scroll to Top