KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA26) bertemakan “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara” yang dianjurkan tahun ini menjadi platform penting untuk mengiktiraf serta menghargai peranan penting wanita dalam pembangunan negara.
Wanita memainkan sumbangan besar dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, sosial dan kepimpinan. Justeru, sambutan ini menjadi ruang untuk menonjolkan pencapaian serta pengorbanan golongan itu sepanjang membantu memacu kemajuan masyarakat dan negara.
Acara tahunan yang disambut pada 8 Mac setiap tahun itu dijayakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensi pelaksananya Jabatan Pembangunan Wanita bertujuan mendaya upaya penglibatan semua pihak dalam usaha memperkasakan wanita.
Kerjasama daripada pelbagai sektor termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat amat penting bagi memastikan agenda pemerkasaan wanita dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Sambutan ini turut menjadi medium untuk menyebarluaskan maklumat serta pengetahuan kepada masyarakat mengenai peluang, isu dan cabaran semasa yang dihadapi oleh golongan wanita.
Melalui perkongsian maklumat, program kesedaran dan perbincangan terbuka, masyarakat dapat memahami dengan lebih mendalam keperluan serta aspirasi wanita dalam menghadapi perkembangan semasa.
Pada masa sama, penganjuran SHWA26 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan kesaksamaan gender sekali gus memastikan golongan itu mendapat peluang adil serta ruang lebih luas untuk menyumbang kepada pembangunan negara secara inklusif dan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan SHWA26 berkata, pelbagai langkah digerakkan kerajaan termasuk insentif cukai, sokongan penjagaan anak, pengaturan kerja fleksibel, program sokongan kerjaya, latihan kemahiran dan dasar mesra keluarga agar lebih ramai wanita dapat kembali bekerja, kekal berdaya saing dan meningkatkan pendapatan secara mampan.
Katanya, selari dengan aspirasi Madani, Dasar Wanita Negara 2025 – 2030 memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita melalui peluasan peluang ekonomi, pengukuhan perlindungan sosial, serta pembinaan ekosistem pekerjaan yang lebih responsif dan inklusif kepada keperluan golongan tersebut.
“Dalam memastikan aspek perlindungan sosial golongan wanita terjaga, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih) telah diperkenalkan sejak tahun 2022 di bawah Perkeso bagi memberi perlindungan kepada golongan surirumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
“Dengan caruman RM120 setahun, skim ini memberi pelbagai manfaat dan faedah perubatan, hilang upaya, kemudahan pemulihan dan banyak lagi,” katanya dalam ucapan perasmiannya hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga mengumumkan inisiatif Perantara Rujukan Intervensi Sokongan Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) yang berperanan memudahkan akses kepada perkhidmatan yang lebih cekap, pantas, terselaras dan mesra mangsa.
Katanya, program dirangka KPWKM mesti didukung sepenuhnya oleh semua kementerian dan jabatan berkaitan bahkan beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan dalam mesyuarat-mesyuarat penyelarasan mengetengahkan agenda wanita.
“Tawaran sokongan ini lebih menyeluruh dan merangkumi khidmat nasihat, rujukan serta penyelarasan kes bersama pelbagai pihak berkepentingan.
“Ini fokusnya termasuk platform maklumat dan pemadanan perkhidmatan, dan sokongan tatkala hadapi krisis. Hab advokasi termasuk memberi kefahaman dan pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840), Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dan Peraturan-Peraturan lain berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Dasar Wanita Negara adalah manifestasi iltizam berterusan kerajaan meningkatkan penyertaan dan daya saing wanita dalam tenaga buruh.
Selain itu, katanya, ia juga memperluas ruang perwakilan dan pengaruh dalam kepemimpinan, memantapkan usaha pencegahan serta penghapusan keganasan dan diskriminasi, dan memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup wanita terus dipertingkatkan.
“Pada hari ini, kita boleh berbangga dengan pencapaian wanita sebagai pembuat keputusan di semua peringkat. Statistik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga Disember 2025 melaporkan penglibatan wanita di peringkat pengurusan tertinggi sektor awam telah mencapai 39.4 peratus, sekali gus melepasi sasaran 30 peratus ditetapkan sejak 2004.
“Di sektor swasta, data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menunjukkan bahawa wanita kini memegang 34.6 peratus kerusi Lembaga Pengarah dalam 100 syarikat awam tersenarai (PLC) teratas di Bursa Malaysia.
“Kejayaan ini mencerminkan kemajuan yang signifikan dalam mengukuhkan kepimpinan wanita dalam tadbir urus korporat,” katanya.
Antara program yang dianjurkan sempena SHWA26 yang bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) adalah Forum Agenda Wanita Negara 2026.
Tiga panelis ditampilkan bagi berkongsikan pengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Naib Presiden Kanan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Mahuran Saro Sariki dengan tajuk ‘Membina Ekosistem Pekerjaan Inklusif untuk Wanita melalui Sinergi Kerajaan dan Swasta’.
Panelis kedua pula menampilkan Pengurus Kanan Sumber Manusia Technocom System Sdn. Bhd. Normah Shahrom dengan tajuk syarahannya ‘Kesaksamaan Gender sebagai Teras Kecemerlangan Organisasi’.
Terakhir, Pengasas dan Pereka Jenama Tom Abang Saufi iaitu Datuk Tom Abang Saufi dengan tajuk perkongsiannya ‘Wanita Pencetus Perubahan dalam Industri Kreatif’.
Selain Forum Agenda Wanita Negara 2026, SHWA26 turut membawakan pameran interaktif dan aktiviti berkaitan pemerkasaan wanita. – UTUSAN



