mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Demi masa depan” menjadi tema hantaran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, manakala pelakon dan penyanyi Bella Astillah pula membalas dengan hantaran bertema “Setinggi Gunung Kinabalu”.
Itulah keunikan majlis pertunangan Syed Saddiq, 34, dan Bella Astillah, 32, yang berlangsung di Locarasa Restaurant & Patisserie, Taman Bukit Bamboo, di sini, hari ini.
Hantaran Syed Saddiq mencuri tumpuan dan menjadi bualan tetamu yang hadir kerana berbeza berbanding dibuat oleh pasangan lain termasuk golongan selebriti.
Jika mereka sering mempamerkan barangan mewah berjenama, Syed Saddiq memilih pendekatan yang lebih bermakna dan berwawasan.
Selain sebentuk cincin sebagai simbol ikatan, beliau menyerahkan lima dulang hantaran yang antara lain mengandungi pembukaan akaun Tabung Haji buat Bella serta dua akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) khusus buat dua cahaya mata Bella iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
Pemberian ini dilihat sebagai satu mesej jelas mengenai kesungguhan Syed Saddiq untuk memikul tanggungjawab bukan sahaja sebagai pasangan, malah sebagai pelindung masa depan keluarga kecil Bella.
Bella pula menyambut kehadiran Syed Saddiq sebagai bakal suaminya seampuh Gunung Kinabalu yang berdiri megah dan menjadi kebanggaan rakyat Sabah.
Barangan terbabit memaparkan sisi peribadi pasangan ini, termasuk set minyak wangi dan uniknya, makanan kucing merujuk kepada hobi dan minat mereka.
Tarikh perkahwinan pasangan ini bagaimanapun belum diumumkan tetapi dijadualkan berlangsung pada tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




