Afieq Shazwan Akui Takut Kahwin, Trauma Lihat Perceraian Depan Mata – “Wanita Mengongkong & Tak Faham Kerjaya Saya Itu ‘Red Flag’”

Afieq Shazwan Akui Takut Kahwin, Trauma Lihat Perceraian Depan Mata – “Wanita Mengongkong & Tak Faham Kerjaya Saya Itu ‘Red Flag’”

Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan, tidak menafikan wujud rasa takut untuk melangkah ke alam perkahwinan, susulan pengalaman melihat sendiri konflik rumah tangga di sekelilingnya.

Afieq atau nama sebenarnya, Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 29, berkata faktor utama yang membuatkan dia berasa gusar adalah apabila menyaksikan kes perceraian, termasuk dalam kalangan keluarga sendiri yang memberi kesan kepada anak-anak.

“Umur saya dah 29 tahun, kawan-kawan dalam industri pun ramai yang sudah berkahwin dan ada anak.

“Tapi saya akui, ada sedikit rasa takut bila lihat kes perceraian, termasuk dalam keluarga sendiri. Bila ibu bapa berpisah, anak-anak yang paling terkesan.

“Perkara itu buat saya lebih berfikir dan secara tak langsung boleh kaitkan dengan watak yang saya bawa,” katanya.

Namun, Afieq menegaskan perasaan itu tidak sampai membuatkan dia menolak jodoh, sebaliknya tetap menyimpan hasrat untuk membina keluarga sendiri suatu hari nanti.

“Tak adalah sampai takut sangat untuk berkahwin. Semua ini ketentuan Allah. Kalau jodoh ada, adalah. Kalau tak panjang, itu pun sudah tertulis,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Lelaki Di Telefon ini turut berkongsi ciri wanita yang kurang sesuai dengan dirinya.

Menurutnya, wanita yang tidak memahami kerjaya serta bersikap mengongkong adalah antara ‘red flag’ yang cuba dielakkan.

“Saya tak boleh dengan wanita yang tak faham kerjaya saya dan yang suka mengongkong.

“Kalau boleh, saya nak pasangan yang ada kerjaya sendiri. Bila masing-masing sibuk dengan kerja, kita lebih faham tanggungjawab masing-masing.

“Bukan abaikan rumah tangga, tapi sama-sama ada fokus dan impian, selain tahu peranan sebagai suami dan isteri,” jelasnya.

Afieq berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri iQIYI 2026 di Andaman Grand Hall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Afieq turut mengulas mengenai hubungannya dengan Wani Kayrie yang menjadi perhatian selepas mereka muncul bersama dalam sebuah program televisyen.

“Saya anggap itu sekadar konten. Mungkin sebab usikan, ada yang ambil serius.

“Tapi sebenarnya, saya dengan Wani memang dah lama berkawan dan rapat. Kami pun pernah melalui pelbagai konflik sebelum ini.

“Kalau ada rezeki ke arah hubungan lebih serius, saya akan kongsikan nanti,” katanya.

 

Scroll to Top