BDR langkah strategik perkukuh kecekapan perkhidmatan awam – JPM

BDR langkah strategik perkukuh kecekapan perkhidmatan awam – JPM

Saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang mula berkuat kuasa hari ini disifatkan sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh kecekapan perkhidmatan awam serta menyokong kelestarian sumber negara.

Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan itu membabitkan kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun selain pengaturan waktu kerja fleksibel turut diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan kerajaan (GLC/GLIC).

“Inisiatif ini bukan saja mencerminkan kecekapan tadbir urus, malah berperanan penting dalam pengurangan penggunaan bahan api, seterusnya memastikan kestabilan dan keupayaan bekalan tenaga serta mengurangkan perbelanjaan melalui langkah penjimatan berhemah.

“Dengan memanfaatkan teknologi digital dan pengurusan masa yang efisien, warga kerja digesa untuk terus mengekalkan tahap produktiviti, integriti dan profesionalisme yang tinggi dalam pelaksanaan dasar ini.

“Sementara itu, orang ramai disaran untuk terus mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Semalam BH melaporkan, pelaksanaan arahan BDR yang akan bermula hari ini dijangka membabitkan lebih 200,000 penjawat awam, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, kelulusan untuk pelaksanaan BDR bagaimanapun bergantung kepada ketua jabatan masing-masing, berdasarkan faktor keperluan dan kesesuaian tugas.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bagi memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, selain mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global.

Bagaimanapun, dasar itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top