Azar sebak jelas isu wang sumbangan Aliff Syukri, mahu bayar hutang

Azar sebak jelas isu wang sumbangan Aliff Syukri, mahu bayar hutang

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dakwaan pelakon Azar Azmi akan menggunakan wang RM40,000 hasil sumbangan ramai yang diperoleh menerusi siaran langsung di TikTok bersama usahawan juga pempengaruh, Datuk Seri Aliff Syukri untuk mengikat jamin suaminya adalah tidak benar.

Pemilik nama sebenar, Siti Azar Ameerah Azmi, 37, ini berkata, mengikut perintah mahkamah, dia dan ahli keluarga tidak dibenarkan mengikat jamin lelaki terbabit, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41.

“Walaupun dia suami saya, tetapi mengikut perintah pihak mahkamah memaklumkan sama ada saya dan ahli keluarga lain tidak dibenarkan untuk mengikat jamin dia (Mohd Apri Hazreen).

“Malah, ketika perbicaraan yang akan berlangsung pada Mei depan, saya perlu hadir ke mahkamah sebagai saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes itu,” katanya.

Azar ditemani pengurusnya dikenali Kim ditemui ketika meluangkan masa hadir pada Majlis Rumah Terbuka Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.

Menurut pelakon drama Maaf Tak Indah dan Nur 2 ini lagi, dia hairan mengapa orang luar bertindak mengeluarkan dakwaan liar terhadapnya sesuka hati tanpa mengetahui perkara sebenar yang dilalui.

“Tanya orang itu, dia pernah berjumpa dan bercakap dengan siapa? Selagi tidak keluar daripada mulut saya, itu bukannya dari saya yang bercakap.

“Orang di luar (netizen) yang komen-komen ini, mereka boleh tulis dan cakap apa sahaja. Macam yang saya kata, sebagai manusia biasa memang tak mampu untuk saya tutup kata-kata manusia ini.

“Mereka nak taip apa benda sekali pun, saya tak boleh nak kawal. Melainkan kereta mainan kawalan, bolehlah dikawal,” katanya tenang dalam nada sebak serta mata berkaca.

Ditanya apakah dia tidak pernah menyedari sebarang perkara mencurigakan dibuat oleh suami, Azar memberitahu dia tidak tahu apa-apa sepanjang perkahwinan mereka.

“Saya memang tidak tahu-menahu (berhubung dakwaan penipuan duit). Sebab, apa yang saya nampak pada mata saya ialah setiap hari dia keluar pergi bekerja macam orang lain.

“Kalau dia (suami) balik lewat pun, dia akan cakap yang dia luang masa dengan anak-anaknya. Tiada kemewahan yang ditunjukkan, jadi saya tidak tahu. Hanya menunggu duit hujung bulan, tak ada keistimewaan lain,” katanya.

Katanya, wang sumbangan yang diperoleh baru-baru ini akan digunakan untuk melunaskan semua hutang suami yang dianggarkan berjumlah ratusan ribu ringgit dan masih tidak mencukupi.

“Duit RM40,000 yang saya dapat daripada Datuk Aliff Syukri itu, saya nak guna semuanya untuk melangsaikan segala hutang yang ada. Saya nak bayar semua hutang itu yang anggarannya bernilai ratusan ribu (ringgit).

“Bagaimanapun, jumlah masih banyak, tidak cukup lagi. Terlalu banyak dan saya akan berusaha mencari duit untuk melangsaikannya. Saya mahu memastikan semua hutang itu dapat dibayar selagi masih hidup.

“Saya harus berusaha melangsaikan semuanya kerana saya percaya duit boleh dicari dan hutang-hutang tetap harus dibayar sampai habis. Jadi, saya kena bangkit berusaha untuk mencari rezeki dan bekerja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top